ORGANISASI pekerjaan tidak dapat lari daripada kaki bodek, kaki kipas atau kaki ampu. Golongan seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian seperti kenaikan pangkat meskipun perlu mensabotaj rakan sekerja yang lain. Namun apa yang menghairankan adalah, mereka ini sering menjadi kesayangan bos atau majikan. Menjelaskan senario yang sering berlaku dalam organisasi pekerjaan sama ada swasta atau kerajaan, pendakwah yang juga Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Kedah, Datuk Ahmad Faisol Omar memperincikan sikap ketua yang mudah 'dimakan' kakitangan. Harus diakui menjadi seorang pengurus atau majikan bukanlah satu perkara yang mudah. Ketua yang baik sentiasa terbuka dengan semua pekerjanya. -Gambar hiasan The Star Sesetengahnya mahu dihormati pekerja namun ada yang berharap menjadi individu yang mudah didekati atau 'sporting'. "Ada ketua yang baik dan ada pula sebaliknya. Bos yang tak baik adalah mereka yang mudah dibodek. "Mereka ini merupakan seseorang yang sangat lemah pendiriannya," katanya. Ini 10 kelemahan bos, mereka yang ada ciri-ciri ini memang mudah untuk kaki bodek 'masuk jarum'. 1. Suka dipuji Kalau bos ini selalu suka dipuji maka pembodek akan mudah untuk ambil kesempatan. 2. Mudah percaya Apa yang pembodek cakap, semua dia percaya... maka dia akan mengambil tindakan yang salah kerana keputusan yang dibuat berdasarkan 'nasihat' daripada individu yang tidak sepatutnya. 3. Terhutang budi pada pembodek Adalah sedikit jasa yang ditaburkan oleh pembodek ini, disebabkan terhutang budi maka mudahlah pembodek menjalankan 'tugasnya'. Kadang kala, ketua pula yang kelihatan seperti mengikut arahan pekerja. 4. Tidak serius bekerja Segelintir individu alpa dengan tugasan hakiki selepas dinaikkan pangkat sehingga melakukan kerja secara sambil lewa. Bagi mereka, tiada siapa yang layak menegur kerana diri sudah berstatus bos. 5. Penting diri sendiri Tidak dinafikan, terdapat ketua yang bersikap penting diri sehingga sanggup menganiaya pekerja bawahan. Kadang kala, golongan seperti ini tidak sedar akan tindakan yang dilakukan itu kerana menyangkakan ia adalah betul! 6. Tidak suka ditegur Kategori ini hanya akan mendengar teguran atau cadangan daripada orang-orang tertentu sahaja. Kalau orang lain tegur seperti 'bos, kawan ni kaki bodek' dia terus menafikan seolah-olah mengenali rapat. 7. Suka bersangka buruk Sudahlah mudah 'digula-gulakan' pembodek, golongan seperti ini gemar bersangka buruk kepada mangsa bodek. Mungkin kerana sudah termakan hasutan! 8. Tidak kenal pekerja Mungkin kedengaran aneh tetapi perkara ini sering terjadi di organisasi yang mempunyai ramai pekerja. 9. Tidak profesional Meskipun menjawat jawatan yang tinggi, ada juga ketua mahupun pengurus yang bersikap tidak profesional. Mereka dalam kategori ini sering menjadikan emosi sebagai sandaran utama dalam membuat keputusan. 10. Bergantung harap Meskipun dia seorang ketua yang dikatakan mempunyai kuasa autoriti dalam membuat keputusan dan sebagainya, individu seperti ini lebih gemar bergantung harap. Selalunya dia akan bergantung harap kepada pembodek kerana individu tersebut merupakan orang yang paling dipercayai di pejabat dan seolah-olah mengetahui setiap hal. Ketua yang suka dibodek ini sebenarnya dia adalah makanan yang mudah diratah oleh kakitangan yang gemar mengambil kesempatan. Dalam erti kata lain, pembodek mendapat faedah tapi bos dikeji oleh kebanyakan orang. Sehubungan itu, Ahmad Faisol turut menitipkan pesanan kepada individu yang bertanggungjawab sebagai pentadbir dan ketua organisasi supaya tidak merendahkan martabat diri hanya kerana ingin dipuji. "Jangan biarkan diri kita dibodek oleh kakitangan yang tertentu kerana individu seperti itu berkemungkinan mempunyai niat lain umpama 'udang di sebalik batu'. Memetik nukilan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW di Kota Suci Madinah ialah mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas, mempunyai nilai serta akhlak yang unggul di samping daya ketahanan yang kental seperti: Mereka memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata. Mereka memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri. Mereka mempunyai daya kekuatan hingga mampu menggerakkan semangat orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental. Ia turut dicontohi Umar bin Abdul Aziz iaitu cucu kepada Umar Ibn al-Khattab RA, seperti yang diterbitkan dalam buku Pemimpin yang Adil: Rahmat untuk Rakyat yang mengisahkan mauqif (pendirian atau prinsip yang dijunjung). Semasa pemerintahan beliau, matawang ditempa dengan perkataan yang bermaksud: “Allah SWT perintahkan dengan bersifat amanah dan berlaku adil.” Pada masa sama, beliau mengamalkan sikap prihatin sehingga rakyat merasa terbela dan mudah untuk mengadu segala kelemahan dan kecurangan pemimipin di samping tegas memelihara daripada pembohongan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube