suria

Ramai ambil ringan, makan di premis tertera notis ‘No Pork No Lard’... Ini penjelasan dari segi hukum agama

Umat Islam wajib mencari sumber makanan yang halal lagi bersih. -Gambar hiasan/The Star

SEBAGAI umat Islam, kita diwajibkan untuk mencari sumber makanan yang halal.

Status halal dan haram makanan yang dimakan tidak boleh dipandang ringan, yang mana ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" (Surah Al-Baqarah 2:168)

Ada hikmah mengapa umat Islam dituntut untuk mencari makanan halal, tidak lain dan tidak bukan demi kebaikan serta kesihatan tubuh.

Bagaimanapun, ketika ini seperti sudah menjadi perkara biasa untuk orang Islam menikmati makanan di premis yang diragui yang memaparkan notis 'No Pork No Lard'.

Justeru, timbul persoalan, bolehkah seorang Muslim makan di kedai berkenaan dengan hanya berpegang dengan kenyataan 'No Pork No Lard'?

Persoalan tersebut dijawab dengan tuntas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam catatannya, Maktabahalbakri.

kedai 2

Halal tidak hanya merangkumi bahan masakan, malah perkakas yang digunakan juga perlu bersih dan tidak dicemari najis. -Gambar The Star

"Perkataan 'pork' berasal daripada bahasa Inggeris yang bermaksud daging babi yang dijadikan sebagai makanan. Manakala perkataan 'lard' pula bermaksud lemak babi yang cair, digunakan dalam masakan.

"Justeru, 'No Pork No Lard' bermaksud premis atau restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Secara umumnya, daging yang dihidangkan adalah berasaskan makanan laut, daging lembu, ayam, dan daging-daging yang diproses.

"Sekalipun umumnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah diharuskan dan halal untuk dimakan melainkan adanya dalil yang menunjukkan sebaliknya.

"Akan tetapi perkara yang perlu diperhalusi di sini adalah apabila sesuatu premis terutamanya milik bukan Islam menyatakan bahawa mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi, ini bukanlah bermaksud makanan yang disediakan oleh restoran mereka dijamin 100 peratus halal," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ambil mudah, fasik jika lebih 3 kali lelaki berseluar pendek atas lutut! Tak boleh jadi wali, saksi nikah

ARTIKEL BERKAITAN: Penyakit akhir zaman! UAI tegur pelanggan beratur berjam-jam, rasa hebat beli makanan viral... Peniaga dah tak fikir berkat

Tambah beliau lagi, walaupun tiada babi atau lemak babi, tidak semestinya bahan-bahan lain yang digunakan seperti ayam, daging, bahan-bahan masakan dan seumpamanya adalah halal.

Lebih-lebih lagi melibatkan makanan bersumberkan daging yang melibatkan sembelihan.

"Dalam erti kata lain, tidak halal suatu sembelihan itu melainkan jika kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

"Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).

masak 3

Bagi umat Islam, daging seperti ayam, lembu dan lain-lain yang dimakan juga perlu disembelih menepati hukum syarak. -Gambar The Star

"Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) di restoran/premis bukan Islam yang hanya mendakwa 'No Pork No Lard', sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan-bahan bernajis, yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti wain, arak, dan seumpamanya.

"Begitu juga alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat)," jelasnya lagi.

Tambah beliau, perbuatan meninggalkan kemahuan makan di restoran yang tidak dapat dipastikan kehalalannya juga bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara syubhah (ragu-ragu).

"Bahkan meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa," jelasnya.

Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk mencari sumber makanan yang terjamin status halalnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain