suria

Selain Mada'in Saleh, ini senarai lokasi yang dilaknat Allah... Makruh melawat tapi kena ambil iktibar

Mada'in Saleh dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh AS. -Gambar Wings Amirul

SEBAGAI umat Islam, kita perlu mengambil tahu mengenai kisah perjuangan serta pahit getir para Nabi dalam menyampaikan dakwah kepada umat terdahulu yang penuh dengan cabaran.

Kisah-kisah pengikut para Nabi yang kebanyakannya ingkar dengan suruhan Allah sehingga menerima azab yang dahsyat patut dijadikan iktibar, diinsafi serta dijadikan sebagai pedoman agar dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Malah, kesan daripada azab Allah terhadap kaum terdahulu yang melanggar perintah-Nya masih boleh dilihat sehingga hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kota Al Ula jadi destinasi pelancongan, benarkah umat Islam dilarang ziarah? Pendakwah dan penduduk jawab kekeliruan

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup senang lenang tapi asyik buat dosa, itu semua musibah... Awas! Maksiat punca rezeki terhalang

Firman Allah SWT: "Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?" (As-Sajdah Ayat: 26)

Sebagai panduan bersama, berikut dikongsikan antara lokasi yang pernah dilaknat oleh Allah SWT:

1) Madain Saleh (Hegra), Kota Al Ula, Arab Saudi

madain 1

Kecoh seketika baru-baru ini apabila seorang selebriti terkenal tanah air dikecam selepas memuat naik foto sedang menikmati percutian di Kota Al Ula, Arab Saudi.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan mengenainya kerana lokasi yang dikunjungi selebriti berkenaan bukanlah tempat yang pernah dilaknat oleh Allah.

Sebaliknya, lokasi yang dimaksudkan secara tepat adalah Kota Mada'in Saleh atau Hegra yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Al Ula.

Madain Saleh adalah kota kuno yang terletak di wilayah utara Hijaz dan suatu masa dulu, tempat ini dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh AS.

Kaum Tsamud diazab dan dibinasakan dengan gempa bumi yang dahsyat kerana mendustakan nabi dan membunuh unta Nabi Saleh AS.

2) Negeri Kaum 'Ad

ad

Kaum 'Ad menetap di suatu tempat bernama Al-Ahqaf, yang terletak di utara Hadralmaut antara Yaman dan Oman.

Kaum 'Ad memiliki sifat yang sangat sombong dan takbur kerana mereka merasa kuat dan pandai membuat bangunan-bangunan yang kukuh serta menyembah berhala.

Nabi Hud diutus untuk berdakwah kepada kaum ini.

Kaum Ad dibinasakan oleh Allah dengan angin dingin yang sangat kencang.

3) Laut Mati (Dead Sea) atau Kota Sodom

dead sea

Kaum Nabi Luth AS dihancurkan kerana melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri serta melakukan seks sejenis iaitu homoseksual.

Walaupun sudah diberi peringatan oleh Allah SWT namun mereka tetap tidak mengendahkannya sehingga ditimpa azab yang sangat pedih.

Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adalah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.

4) Kota Pompeii

pompeii

Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, Naples, Itali. Kota Pompeii ditimpa azab kerana masyarakatnya mengamalkan hubungan seksual sebagaimana umat Luth.

Kehancuran kota Pompeii berlaku selepas terjadinya letusan gunung Vesuvius.

Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali. Masyarakat Pompeii menjadikan kota itu sebagai kota pelacuran dan aktiviti seks bebas.

5) Laut Merah

red sea

Laut Merah terletak di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia yang berada di utaranya ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez.

Siapa yang tidak tahu tentang kisah Firaun? Firaun dan pasukannya diazab Allah dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah.

Beberapa penemuan sejarah membuktikan ayat al-Quran bahawa ia adalah lokasi Firaun tenggelam bersama tenteranya ketika memburu Nabi Musa AS.

Hukum mengunjungi tempat yang dilaknat Allah

Hukum mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilaknat oleh Allah ialah makruh.

Sebaik-baiknya, elakkan berbuat demikian atau sekadar lalu untuk mengambil pengajaran kisah terdahulu.

Namun ada juga pandangan ulama yang mengatakan hukum untuk ziarah tempat tersebut ialah haram.

Abdullah bin Umar R.A menceritakan: "(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW.

"Baginda bersabda: Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dilaknat Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian. Kemudian baginda melajukan pergerakannya meninggalkan tempat itu."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain