TIADA siapa yang mengetahui tarikh kematian sendiri kerana ajal adalah rahsia Allah. Justeru, selain mempersiapkan diri dengan amalan-amalan sebagai bekalan di 'sana' kelak, kita sememangnya digalakkan untuk membuat wasiat. Dengan adanya wasiat, maka ia dapat mengurangkan masalah kes harta pusaka yang tidak dibahagikan dengan kaedah yang betul. Sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat, maka penyelesaian kepada pembahagian harta miliknya adalah menerusi hukum faraid. ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang tinggal solat, tapi ‘ganti’ dengan amalan baik lain untuk dapat pahala... ini penjelasan UAI! ARTIKEL BERKAITAN: Prank tekup kek tak ubah macam orang hilang akal, Ustaz Azhar Idrus tegur TikToker - “Jangan melampaui batas” Untuk makluman, hukum faraid akan diaplikasikan bagi harta pusaka orang Islam, manakala Akta Pembahagian 1958 diguna pakai untuk harta pusaka orang bukan Islam. Namun begitu, ramai dalam kalangan kita yang masih kurang memahami urusan pembahagian harta mengikut hukum faraid, antaranya melibatkan barangan peribadi milik si mati. Sebagai contoh, koleksi pakaian, pinggan mangkuk atau perkakas dapur. Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menghuraikan dengan jelas mengenainya dalam satu siri ceramah beliau, baru-baru ini. Apa sahaja barangan yang bermanfaat atau boleh digunakan, akan menjadi harta pusaka yang perlu difaraidkan. -Gambar hiasan/The Star "Tudung isteri saya setakat yang saya kira berjumlah 164 helai. Kalau isteri saya meninggal, boleh tak saya nak sedekah dekat orang lain sebab kedua-dua anak saya lelaki. Ataupun ia jadi harta pusaka, ustaz? "Jawapannya, tak boleh (sedekah). Kerana setiap benda yang bermanfaat akan menjadi harta pusaka. Kita mindset orang Melayu ni hanya faham pusaka ini berkaitan duit, emas, tanah atau rumah. "Segala-galanya adalah harta pusaka selagi boleh diambil guna (bermanfaat). Selipar sebelah, tidak menjadi harta pusaka. Kalau dua belah, menjadi harta pusaka. "Walaupun selipar murah, (misalnya) RM5 sahaja, (tetapi) boleh dipakai dan diambil manfaat oleh orang lain, itu harta pusaka. Sudu satu? Harta pusaka, wajib faraid," jelas beliau. Menjelaskan dengan lebih lanjut, Ustaz Azhar berkata barangan milik si mati hanya boleh disedekahkan sekiranya semua waris bersetuju untuk berbuat demikian. "Jangan buat pandai. Apabila mati, semuanya balik menjadi milik Allah... waris tidak boleh buat suka-suka. Bila ia menjadi hak waris? Selepas melalui dua perkara. "Pertama, bayar hutang agama dan kedua bayar hutang manusia. Bakinya (harta) barulah menjadi milik waris,"jelas beliau lagi. Begitu jugalah halnya dengan koleksi perkakas dapur yang menjadi milik si mati. Sebagai umat Islam, kita wajib mengambil tahu mengenai hukum faraid agar pembahagian harta si mata dilakukan dengan adil. -Gambar hiasan Memetik laman sesawang Jabatan Mufti Terengganu, semua harta atau benda yang dimiliki oleh si mati semasa hidup menjadi harta pusaka kepada pewarisnya yang masih ada, sama ada harta tersebut diperoleh secara langsung atau tidak. Pewaris seperti ibu, ayah, isteri atau anak-anak si mati berhak mewarisi kesemua harta peninggalan si mati mengikut pembahagian yang telah ditetapkan. "Sekiranya barang tersebut mempunyai nilai dan berharga, perlulah diisytiharkan kepada semua waris yang berhak untuk dinilai semula. "Namun, jika barang tersebut tidak mempunyai nilai dan hanya boleh dipakai untuk kegunaan harian maka bolehlah sekiranya ada di antara ahli waris yang mahu menyimpan atau menggunakan barang tersebut tanpa dinilai atau di bahagikan secara faraid dengan syarat mendapat keizinan ahli waris," terangnya. Oleh itu, barang seperti perkakas dapur, pinggan mangkuk, periuk dan lain-lain yang tidak mempunyai nilai boleh dimiliki dengan hanya meminta izin daripada ahli waris yang lain atau diletakkan untuk kegunaan bersama dalam kalangan ahli waris. "Faktor utama dalam pembahagian seperti ini adalah bertolak ansur dan ada sifat tanggungjawab dalam memastikan tidak ada unsur kepentingan peribadi dan tidak tamakkan diri sendiri sehingga semua perkara perlu diperincikan mengikut pembahagian secara faraid," jelasnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube