suria

Boleh ke ‘up’ status, tegur seseorang di media sosial sampai si dia sentap, malu? Ini penjelasan Dr Zulkifli

WhatsApp adalah salah satu platform komunikasi yang digunakan ramai. -Gambar hiasan

SETIAP manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan mungkin ada yang tidak menyedari kesalahan yang dibuat sehingga ditegur orang sekeliling.

Terdapat pelbagai cara untuk kita menegur seseorang, namun apa yang paling penting adalah tidak mengaibkan tuan empunya badan.

Seiring dengan perkembangan dunia teknologi digital, teguran pada masa kini biasanya dilakukan melalui media sosial seperti di status WhatsApp atau Instagram Story.

Nasihat akan dibuat secara berkias tanpa mendedahkan identiti individu yang sedang ditegur itu, ibarat siapa makan cili dia terasa pedasnya.

Tiada insan yang sempurna di muka bumi ini. -Gambar hiasan

Mengulas mengenai amalan ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya dari sudut agama.

"Tidak menjadi masalah untuk menegur secara kiasan demi menjaga hati seseorang. Bahkan, melalui perkongsian ilmu tersebut, secara tidak langsung memberi manfaat kepada mereka yang melihat perkongsian tersebut.

"Dalam hal ini, perlu kepada ilmu dan makrifah yang mendalam di samping memahami uslub dakwah serta fiqh al-nasihah dengan sebaik-baiknya.

"Matlamatnya biarlah jelas iaitu menjunjung titah perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya, 'Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.' - Surah al-‘Asr (3).

"Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama," kata Zulkifli.

Seorang Muslim seharusnya sentiasa membantu antara satu sama lain. -Gambar hiasan

Zulkifli menyambung hujahannya dengan sepotong nukilan daripada Imam al-Tabari.

"Imam al-Tabari pernah berkata, saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam kitab-Nya.

"Iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

"Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda, barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya.

"Jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman (Riwayat Muslim (49)," kata Zulkifli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain