suria

Air mani terkena tuala, kemudian guna lap badan lepas mandi... Ramai musykil soal hukum, adakah dikira najis?

Timbul persoalan tentang status kesucian air mani yang terkena pada tuala atau pakaian. -Gambar hiasan

ASPEK kebersihan diri merupakan satu keutamaan di sisi agama.

Namun ada kalanya keraguan boleh timbul, sepertimana lelaki ini yang risau jika air mani yang terkena pada pakaian atau tuala boleh menyebabkan ibadahnya menjadi tidak sah.

Merujuk kepada perkongsian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, secara umumnya ulama berbeza pendapat mengenai kesucian air mani.

"Namun pendapat yang terpilih ialah air mani manusia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafie.

Kebersihan pakaian dari najis adalah antara syarat sah solat. -Gambar hiasan

"Inilah pendapat tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafie dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafe.

"Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafie adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir.

"Selain itu, pendapat air mani manusia adalah suci merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad iaitu mazhab Hanbali," jelas Zulkifli.

Menurut Zulkifli, kesucian air mani itu adalah berdasarkan hadis yang menceritakan bagaimana cara untuk membersihkannya iaitu dengan menggosoknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mandi wajib tak perlu lama, guna air sedikit pun boleh selesai... Ini penjelasan Ustaz Don Daniyal

Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya yang perlu dibasuh dengan air.

"Adapun perkataan Aisyah R.Anha yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib.

"Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya).

"Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya.

Solat yang tidak sah pastinya merugikan. -Gambar hiasan.

"Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian yang terkena air mani itu adalah bidaah yang tercela.

"Sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554)," kata Zulkifli.

Tambah Zulkifli lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga berpendapat air mani adalah suci dan yang berpendapat ia adalah najis berserta dalil-dalilnya turut membuat kesimpulan mengatakan pendapat yang paling kuat ialah yang menyatakan kesuciannya.

"Sekalipun air mani dianggap suci, namun kita digalakkan (sunat) untuk membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani itu.

"Ini berdasarkan hadis-hadis sahih yang terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim berkenaan perbuatan Aisyah R.Anha yang telah membasuh air mani pada pakaian Rasulullah SAW.

Seseorang itu harus yakin dengan kebersihan dirinya ketika hendak menunaikan solat. -Gambar hiasan

"Hal ini adalah bertujuan untuk keluar daripada khilaf ulama yang menyatakan mengenai kenajisannya yakni air mani itu. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554)," ujar Zulkifli.

Sebagai kesimpulannya, Zulkifli berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan kain tuala yang terkena air mani atau ada kesan air mani dan hal itu tidak menjadikan badan terkena najis kerana air mani dihukumkan sebagai suci.

"Begitu juga tidak perlu membilas semula badan dengan air disebabkan menggunakan kain tuala yang terkenanya.

"Sekalipun begitu, kami turut mengesyorkan agar membasuh atau menggosok bahagian tuala atau badan yang jelas terkena air mani (disebabkan tuala itu).

"Kerana membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani adalah digalakkan (sunat), di samping keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai najis," jelas Zulkifli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain