KERAP kita dengar dakwaan jika seorang anak itu mengalami masalah keruntuhan akhlak, ia adalah kerana kifarah (balasan Allah) terhadap dosa silam ibu bapa. Ia seakan-akan sudah menjadi normalisasi untuk ibu bapa diselar kerana kesilapan cahaya mata mereka. Namun sejauh manakah kebenaran yang mengatakan jika seseorang anak itu tidak 'menjadi', ia adalah kerana dosa lalu ibu bapa? Ayuh kita ikuti kupasannya ustaz Muhammad Abdul Hadi Ismut daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Menurut Abdul Hadi, tidak ada nas yang jelas menunjukkan bahawa akhlak tidak baik anak-anak adalah disebabkan dosa ibu bapa. Anak adalah pemberian yang paling berharga untuk ibu bapa. -Gambar hiasan "Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia," kata Abdul Hadi. Firman Allah SWT: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” - Surah Luqman (17) Abdul Hadi menjelaskan, dalam ayat ini Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya,. "Dia memesan agar anaknya menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. "Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang-orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT," jelas Abdul Hadi. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak. -Gambar hiasan Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” - Surah al-Tahrim (6). Abdul Hadi seterusnya menekankan bahawa Ibu bapa adalah cermin kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi." - Riwayat Muslim(4805) Hubungan antara ibu bapa dan anak-anak haruslah dijaga sebaik mungkin. -Gambar hiasan Tambah Abdul Hadi, dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut. "Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. "Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka. "Jika sekiranya ibu bapa melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak tetapi mereka masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. "Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa. Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh tauladan yang baik," kata Abdul Hadi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube