suria

Influencer maut selepas 7 tahun makan durian, nangka... Boleh ke jadi vegan dalam Islam? Ini penjelasan mufti

Pemakanan vegan menjadi trend masa kini. -Gambar hiasan (kanan)

GEMPAR mengenai pemergian pempengaruh vegan dari Rusia, Zhanna Samsonova yang mengamalkan diet esktrem dengan hanya makan buah-buahan eksotik di Malaysia.

Perkara itu mengejutkan orang ramai kerana tidak menyangka pemakanan vegan yang bertujuan untuk mencapai tahap kesihatan ideal akhirnya meragut nyawa wanita terbabit.

Zhanna dikatakan tidak mengambil apa-apa makanan berasaskan haiwan sebaliknya memilih makanan daripada tumbuhan secara mentah seperti buah-buahan, pucuk bunga matahari, 'smoothie' buah-buahan dan jus.

Dari sudut pandang Islam, merujuk kepada penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemakanan vegan dibenarkan selagi seorang Muslim itu boleh mengamalkan tugasnya sebagai seorang hamba Allah SWT.

Zhanna dikatakan mengalami masalah kekurangan zat.

Oleh itu, Islam mengarahkan agar umatnya memelihara tubuh dengan makan makanan yang baik dan memberi manfaat kepada badan.

Jika dengan menjadi vegetarian itu tidak menyebabkan seseorang itu kekurangan zat dan tidak mendatangkan keburukan, maka hukumnya adalah harus.

Ini mestilah dengan syarat tidak mengharamkan apa yang Allah halalkan atau kerana mempercayai akidah bidaah yang tidak ada asalnya dalam Islam, sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.

Berbicara soal niat, perlu diperhatikan juga pemakanan vegan itu dilakukan atas sebab apa, kerana sebab peribadi atau sebab kepercayaan?

ARTIKEL BERKAITAN: Makan durian dan nangka selama 7 tahun, influencer Rusia didakwa maut akibat ‘kebuluran’

Jika seseorang itu menjadi vegetarian atas sebab peribadi, seperti diet dan kesihatan, atau secara nisbi ingin menjaga ekosistem dan berlebihan makan daging, maka ini dibolehkan.

Ini kerana soal makanan itu adalah soal pilihan lagi mubah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

"Aku tidak makan dhab dan tidak pula mengharamkannya.” Riwayat al-Bukhari (5216)

Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang itu boleh memilih untuk tidak makan suatu makanan yang halal atas alasan peribadi seperti tidak selera dan sebagainya, tanpa diiktiqadkan haram kerana urusan halal dan haram adalah urusan Allah SWT semata.

Dalam kitab al-Muwatta’ susunan Imam Malik Rahimahullah juga menyebutkan riwayat daripada Yahya bin Said, bahawa Umar al-Khattab RA berkata:

Setiap apa yang diamalkan haruslah berpada-pada. -Gambar hiasan Freepik

“Awasilah kamu ketika mengambil daging sebagai makanan, kerana padanya terdapat ketagihan seperti ketagihan meminum arak.” Riwayat Malik (36)

Yakni jika berlebihan, dan ketagihan itu tidak elok dalam apa perkara sekalipun.

Manakala jika menjadi vegetarian atas sebab kepercayaan, seperti kepercayaan agama lain bahawa daging lembu itu diharamkan, mengharamkan memakan daging secara mutlak, atau menafikan pensyariatan korban pada Hari Aidiladha dan hukum sunat memakan daging korban, maka sikap ini adalah haram di dalam Islam.

Pejabat Mufti WP berpendapat bahawa memilih makanan yang elok lagi berzat dan bervitamin adalah amat dituntut.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Surah al-Baqarah, 2:172)

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW sebelum menyebut ayat di atas:

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu melainkan yang baik sahaja, dan sesungguhnya Allah memerintahkan ke atas orang beriman sebagaimana Dia memerintahkan ke atas rasul-rasul.” Riwayat Muslim (1015).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain