KEMATIAN yang dicemburui ialah ketika seseorang itu sedang melakukan amal soleh. Begitu juga yang dialami Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis), Dr Mohd Soberi Awang yang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh pada Ahad. Bahkan, pemergiannya itu menjadi bahan perbualan warga maya di laman sosial kerana insiden itu turut disaksikan secara langsung di Facebook. Bukan sahaja mengejutkan ramai pihak, apa yang berlaku turut mengundang sebak mereka yang berada di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor. Mengulas tentang kematian yang dicemburui itu, pendakwah bebas yang juga Pencetus Ummah (PU) Salman menyenaraikan enam kelebihan mati ketika melakukan ketaatan. 1. Mati ketika buat taat tanda masuk syurga Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya ahli syurga disudahi ajalnya dengan amalan ahli syurga." HR Tirmizi 2. Dibangkit pada hari kiamat dari kuburnya dengan keadaan melakukan amalan tersebut Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dibangkitkan seseorang hamba dengan cara dia mati." Hadis sahih Muslim Arwah meninggal dunia ketika sedang memberi kuliah Subuh. 3. Dikira dari ahli amalan tersebut dan diterima amalannya sempurna Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Ayat 100, surah An-Nisaa 4. Mati ketika di masjid mati yang dijamin oleh Allah Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lelaki yang pergi masjid Allah menjamin jika dia mati pasti Allah akan masukkan dia ke syurga." HR Abu Daud 5. Tanda husnul khatimah Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah kehendaki kebaikan pada seseorang hamba, Allah akan gunakan dia.” Sahabat bertanya: Bagaimana Allah gunakan dia? Nabi SAW menjawab: "Allah akan memberi kekuatan untuk dia melakukan ketaatan sebelum dia mati." HR Tirmizi 6. Pahala amal yang terakhir ketika dia mati akan berterusan sampai hari kiamat Nabi SAW bersabda bila ada sahabat meninggal ketika berihram yang bermaksud: "Jangan letak minyak wangi dan jangan tutup kepalanya kerana dia akan dibangkitkan bertalbiah pada hari kiamat." HR Bukhari Muslim Justeru, para ulama mengambil dalil dari hadis ini yang bermaksud: "Sesiapa yang sudah memulakan amal soleh, contohnya menuntut ilmu atau berjihad atau lain-lain dan dia berniat untuk habiskan amalnya... dan meninggal sebelum selesai, Allah akan sempurnakan pahala amalnya dan pahalanya berterusan hingga kiamat." Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube