suria

Buat saringan ketat, jangan ulang tragedi biadab Matty Healy! Dr Zulkifli jelaskan Islam tak larang hiburan, tapi jangan melampau

Dr Zulkifli perjelas hukum hiburan dan nyanyian dalam Islam.

TINDAKAN kurang ajar vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy ketika membuat persembahan pada konsert Good Vibes Festival 2023 baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi.

Mana tidaknya, perbuatan yang dilakukan itu bukan sahaja songsang malah melanggar adat dan budaya masyarakat Malaysia.

Selain mengakibatkan kekecohan berlaku, ramai yang menyarankan supaya penganjuran konsert dihentikan sepenuhnya di samping meminta kerajaan mengharamkan sebarang bentuk hiburan seumpama itu.

Turut mengulas isu tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi nukilan di Al-Mawaqif dia berkata, terdapat enam masalah utama yang dilakukan Matt Healy termasuk mempromosikan seks bebas dan LGBT+ (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

Matty mencium pemain bass The 1975 di atas pentas selain mengutuk undang-undang LGBT di Malaysia.

Matty mencium pemain bass The 1975 di atas pentas selain mengutuk undang-undang LGBT di Malaysia.

Malah beliau berpandangan bahawa kumpulan tersebut pada hakikatnya merendahkan maruah Malaysia dan rakyatnya yang mempunyai tamadun serta adab yang tinggi.

Memetik nukilan Dr Yusuf al-Qaradhawi berkenaan hiburan, aspek yang menyenangkan jiwa, melapangkan dada dan memberikan nikmat kepada halwa telinga ialah nyanyian.

Islam membolehkan nyanyian selama mana ia tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada penyelewengan akidah.

Tidak mengapa jika diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka buat perbandingan, pertikai kekurangan diri... Ini nasihat untuk golongan asyik nampak kelebihan orang lain

Malah digalakkan juga upacara-upacara yang menggembirakan bagi menampakkan perasaan suka dan riang untuk menghiburkan jiwa umpamanya pada hari raya, majlis perkahwinan, aqiqah dan hari menyambut kelahiran bayi.

Daripada Aisyah R.Anha berkata yang bermaksud: “Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan?

Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.” Riwayat al-Bukhari (5162)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata yang bermaksud: “Aisyah R.Anha pernah mengatur satu upacara perkahwinan salah seorang kerabatnya daripada kaum Ansar. Lalu datang Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah sudah engkau berikan hadiah kepada pengantin perempuan itu?

Jawabnya: Sudah. Baginda SAW bertanya lagi: Sudahkah kamu aturkan seseorang untuk menyanyi di sana? Jawabnya: Tidak. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar itu suka kepada nyanyian Ghazal (sambut menyambut),.

Kalau dapat seorang yang bernyanyi seperti, “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!” Riwayat Ibn Majah (1900).

Kumpulan The 1975 membuat konsert di Malaysia pada 21 Julai lalu.

Kumpulan The 1975 membuat konsert di Malaysia pada 21 Julai lalu.

Di dalam sebuah hadis yang lain, daripada Aisyah R.Anha berkata yang membawa maksud: “Bahawa Abu Bakar RA masuk menemuinya (Aisyah), dan di sisinya terdapat dua orang hamba perempuan, dan waktu itu adalah hari-hari Mina.

Kedua hamba itu menyanyi, memainkan duff (rebana) dan memukulnya (rebana) tersebut. Manakala Nabi SAW sedang (dalam keadaan) menutupi diri dengan kainnya. Abu Bakar memarahi mereka berdua.

Lalu Nabi SAW menyingkap kain daripada wajahnya dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya ia adalah hari-hari perayaan.” Dan hari-hari itu adalah hari-hari Mina (Aidiladha).” Riwayat al-Bukhari (3529) dan Muslim (892)

Jelaslah di sini bahawa adanya nas sahih yang menunjukkan nyanyian dan hiburan seumpama ini tidaklah diharamkan dalam Islam.

Pun begitu, meneliti persembahan Matt Healy tempoh hari, Zulkifli melihat kerendahan akhlak dan moral universal yang bercanggah dengan nilai-nilai ketimuran.

"Peminat yang membayar sejumlah besar wang untuk menyaksikan persembahan, tetapi apa yang mereka dapat hanyalah aksi berkucupan dengan Ross MacDonald, di samping memegang botol arak dan menghamburkan kata-kata yang amat tidak bermoral kepada negara dan kerajaan.

"Itu tidak termasuk perbuatan menghancurkan dron yang mungkin milik peminatnya. Isu seperti ini amat berat untuk ditelan kerana ia melibatkan penghinaan terhadap negara dan perlembagaan negara serta undang-undangnya," jelas beliau.

Zulkifli turut meluahkan rasa kesal dan sedih apabila dengan mudah Malaysia diperhina sedemikian rupa.

"Ini adalah tindakan yang amat biadab. Saya berkeyakinan, tidak ada rakyat Malaysia yang akan berkelakuan seperti itu di khalayak ramai di dalam negaranya apatah lagi di negara luar," katanya.

Sehubungan itu Zulkifli mencadangkan agar latar belakang artis luar negara yang dijemput membuat persembahan di negara ini disaring dengan sebaiknya.

Malah Zulkifli berharap peristiwa seperti ini adalah kali terakhir berlaku di Malaysia.

"Kami tidak fikir kita akan menerima lagi alasan daripada pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti bersalah dalam meluluskannya atau tersilap atau di luar jangka dan sebagainya.

"Mana-mana kumpulan muzik yang mempunyai sejarah yang bermasalah daripada apa-apa sudut, bercanggah dengan pendirian kerajaan walaupun berbeza dengan negara-negara lain seperti mempromosi LGBT, hendaklah dilarang memasuki negara.

"Dalam masa yang sama, perlu satu pelan tindakan yang jelas sekiranya sesebuah konsert turut melibatkan penggerai yang berniaga sepanjang konsert.

"Kita tidak mahu berlaku kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Para penggerai perlu mendapat keadilan sewajarnya sekiranya sesebuah konsert dibatalkan," katanya.

Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia sentiasa meraikan hak kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Kebebasan bersuara, beragama dan lain-lain diberikan seluas-luasnya dengan prinsip Rukun Negara dihormati, kepatuhan itu lebih-lebih lagi terpakai kepada orang luar yang ingin bertandang.

Peradaban dan akhlak kita tidak serendah itu untuk kita bertolak ansur atas perlakuan mereka.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa dan kekhilafan kita.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain