MANDI wajib adalah cara untuk orang Muslim membersihkan diri daripada hadas besar, seperti datang haid untuk wanita dan keluar air mani untuk lelaki. Mandi wajib perlu dilakukan dengan mematuhi syarat yang ditetapkan, jika terlepas pandang, boleh menyebabkan ia menjadi tidak sah. Antara syarat sah mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh bahagian badan dan rambut serta bulu-bulu. Mandi wajib tidak memerlukan air yang banyak. -Gambar hiasan Oleh itu, ramai yang beranggapan mandi wajib perlu disempurnakan dengan teliti dan perlu mengambil masa yang lama. Namun begitu, melalui satu perkongsian oleh Ustaz Don Daniyal di Suria FM, ternyata proses mandi wajib sebenarnya cukup mudah dan ramai yang tersalah faham. Ayuh kita ikuti kupasan Ustaz Don Daniyal. Mandi wajib dan wuduk mempunyai konsep yang berbeza. -Gambar hiasan Mandi wajib hanya perlu 'sangkaan' Menurut Ustaz Don Daniyal, mandi wajib hanya memerlukan 'zon' yang bermaksud 'sangkaan' dalam bahasa Arab. "Mandi wajib tidak sama seperti wuduk, kalau wuduk kita kena yakin yang air sudah terkena pada anggota badan kita, kalau tak yakin, tak sah. "Tapi kalau mandi wajib, cukup sekadar 'zon', maknanya kita rasa kita dah ratakan air ke seluruh badan kita, maka selesai mandi wajib kita. Kita rasa okay dah basah, settle. Sebab apa macam ni? "Sebab kalau yakin, kita kena nampak yang air sudah terkena pada setiap anggota tubuh kita, seperti di belakang badan, celah kelangkang, celah punggung dan segala pelipatan kulit. "Susah nak nampak semua tu, tak akan nak letak cermin dekat celah punggung kita pula. Sebab itu mandi wajib cukup sekadar 'sangkaan' yang kita dah ratakan air ke seluruh badan dengan kemampuan tangan kita," jelas Ustaz Don Daniyal. Ustaz Don Daniyal menggambarkan saiz bekas air yang digunakan Nabi Muhammad SAW untuk mandi wajib. Cara mandi wajib Nabi Muhammad SAW Menurutnya lagi, Nabi Muhammad SAW mandi wajib dengan hanya menggunakan sebekas air. "Kalau saya mandi sebanyak tu, sekali jirus pun dah habis. Jadi itulah konsepnya di sini, kata kuncinya ialah 'meratakan' air ke seluruh badan. Kalau rasa dah kena air tu, maka dah selesai mandi wajib. "Sebab itu tak perlu mandi wajib lama-lama dan menggunakan air yang banyak. Tentang berwuduk sebelum mandi wajib pula, itu hanyalah sunat. "Cuma saya nak titipkan pesanan tambahan, kalau untuk wanita dan mereka yang berbadan montel, digalakkan bertinggung sekejap ketika mandi wajib, supaya lebih senang air diratakan ke seluruh badan," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube