suria

Sidai baju waktu malam tak elok... Syaitan berkeliaran, mudah kena sihir? Ini penjelasan dari sudut agama

Menyidai pakaian pada waktu malam tidak mempunyai kaitan dengan syaitan yang berkeliaran. -Gambar hiasan

TUNTUTAN kerja adakalanya membuatkan ramai dalam kalangan kita terlalu sibuk sehingga terkejar-kejar melakukan kerja rumah.

Selepas pulang dari pejabat, barulah sempat untuk melakukan kerja rumah yang tertangguh seperti mencuci pakaian dan sebagainya.

Pasti timbul juga rasa bimbang sekiranya rutin tersebut sebenarnya mempunyai implikasi dari sudut agama.

Menghuraikan perkara tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri tampil dengan penjelasan sama ada rutin mencuci dan menyidai pakaian pada waktu malam dibolehkan dalam Islam atau sebaliknya.

Berikut adalah penjelasan panjang lebar beliau dalam laman sesawang.

ARTIKEL BERKAITAN: Jin Islam atau kafir, manusia ditegah guna khidmatnya! Kenali 10 ciri bomoh guna jin

ARTIKEL BERKAITAN: Jauhilah khidmat ‘uskun’... Ketahui 8 tempat jadi tumpuan jin dalam rumah

"Pertamanya, sunnah ketika malam tiba adalah mencegah anak-anak kecil, begitu juga haiwan ternakan seperti unta, kambing, dan lain-lain, dari keluar.

"Ini kerana pada waktu tersebut, syaitan-syaitan berkeliaran di bumi dan dikhuatiri syaitan-syaitan tersebut akan menyakiti dan memudaratkan mereka.

"Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila malam menjelang tiba (waktu senja) atau kalian berada pada waktu petang, maka tahanlah anak-anak kalian daripada keluar (dari rumah) kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran pada waktu itu. Apabila telah berlalu sebahagian daripada waktu malam, maka lepaskanlah mereka (keluar, jika mahu), tutuplah segala pintu dan sebutlah nama Allah SWT. Sesungguhnya syaitan tidak (dapat) membuka pintu yang tertutup. Ikatlah kantung air kamu serta sebutlah nama Allah SWT. Tutuplah bekas-bekas kalian dan sebutlah nama Allah SWT, meskipun hanya dengan melintangkan sesuatu di atasnya, dan padamkanlah lampu-lampu kalian". (Riwayat al-Bukhari (5623) dan Muslim (2012).

addin 2

Solat berjemaah khususnya waktu Maghrib dan Isyak adalah antara rutin yang patut diterapkan dalam setiap keluarga agar anak-anak sentiasa berada di rumah. -Gambar hiasan

Tambah beliau, terdapat hadis lain yang turut meriwayatkan perkara sama.

Ujarnya, Hadis Riwayat Ahmad (14482) melarang melepaskan anak-anak pada permulaan waktu Isyak, kerana saat itu syaitan sedang berkeliaran dan berkemungkinan boleh mengganggu mereka.

"Selain itu, dalam hadis ini juga mengandungi dalil bahawa anak-anak boleh terkena gangguan daripada syaitan. Oleh demikian, jika berjaga-jaga (dengan tidak membenarkan mereka keluar pada waktu itu), mereka tidak akan terkena gangguan buruk daripada syaitan.

"Keduanya, merujuk kepada lafaz hadis sebelum ini iaitu 'tutuplah segala pintu dan sebutlah nama Allah SWT' sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas menunjukkan bahawa sunnahnya adalah menutup pintu dan menutup bekas-bekas pada waktu malam serta menyebut nama Allah dalam semua tindakan tersebut," kongsinya.

Justeru, berbalik kepada persoalan mengenai menggantung atau menyidai pakaian pada waktu malam, dinyatakan oleh Dr. Muhammad Syahat al-Jundi, anggota Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah bahawa tidak ada dalil yang menunjukkan adanya larangan sedemikian terhadap pakaian yang dibasuh selepas Maghrib (waktu malam).

"Beliau menjelaskan lagi bahawa larangan untuk menggantung atau menyidai pakaian yang dibasuh agar ia kering pada waktu malam tersebut tidak mempunyai sebarang dalil atau hujah mahupun sandaran yang menyokong atau mengesahkannya.

"Begitu juga tidak ada sebarang kaitan antara menyidai pakaian yang dibasuh dengan awal malam ataupun akhir malam, mahupun kaitan antaranya dengan berkeliarannya syaitan-syaitan pada waktu tersebut ataupun ketiadaan syaitan-syaitan itu.

"Malah tidak terdapatnya hadis sahih atau daif dalam hal tersebut, setakat yang kami ketahui," terangnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain