suria

Kota Al Ula jadi destinasi pelancongan, benarkah umat Islam dilarang ziarah? Pendakwah dan penduduk jawab kekeliruan

Kota Al Ula dibangunkan sebagai tempat pelancongan di Saudi. -Gambar Facebook Wahida Shukeri

SEJAK beberapa hari lalu, kecoh mengenai kecaman warga maya terhadap seorang artis negara ini yang memuat naik foto sedang menikmati percutian di Kota Al Ula, Arab Saudi.

Rata-rata netizen menyifatkan artis tersebut tidak sensitif kerana dengan sengaja mengunjungi kota berkenaan.

Untuk pengetahuan, Kota Al Ula menjadi tular sebagai destinasi pelancongan popular yang dibangunkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ia menjadi kontroversi kerana dikaitkan sebagai kota yang dilaknat Allah kerana keegoan kaum Tsamud yang enggan menyembah-Nya hingga akhirnya mereka dihancurkan ketika zaman Nabi Saleh AS.

Benarkah kota Al Ula yang dikunjungi pelakon tersebut adalah tempat terkutuk yang dilarang Nabi Muhammad SAW dan dilaknat Allah?

Berikut penjelasan seorang pendakwah bebas, Ustaz Sharizan Daud.

"Abdullah bin Umar R.A menceritakan: (Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW.

ula new 1

Salah satu tarikan yang terdapat di Kota Al Ula.

"Baginda lantas bersabda 'jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.

"Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu," demikian perkongsian di laman Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penemuan 10 khazanah purba ini gemparkan dunia... hayati kisah misteri di sebaliknya

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok bergelumang maksiat, rupa-rupanya ‘nikmat’ buat dosa adalah azab Allah... Pendosa tak sedar sedang dihukum!

Menjelaskan lebih lanjut, pendakwah berkenaan berkata, bagaimanapun lokasi yang dimaksudkan adalah Kota Mada'in Saleh.

"Tempat yang dimaksudkan adalah Wadi al-Qura (Valley of Villages), terletak antara Madinah dan Tabuk. Al Hijr kini dikenali sebagai Mada'in Saleh, atau Kota Saleh.

"Tempat ini juga ada disebut dalam Taurat (the old testament) dan juga dalam kitab Injil (dikenali dengan nama Dedan)," jelasnya lagi sebagai menjawab salah faham dalam kalangan orang ramai.

Perkongsian lebih jelas mengenai Kota Al Ula dan Mada'in Saleh turut diterangkan dengan panjang lebar oleh seorang warga Malaysia yang menetap di Saudi.

Menurut Wahida Shukeri yang bertugas sebagai Penolong Profesor Perakaunan di Universiti of Hail, sebuah institusi yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Al Ula, dirinya terpanggil untuk membuat perkongsian kerana mahu memperbetulkan salah tanggapan ramai mengenai lokasi yang disebut tempat larangan Nabi Muhammad SAW.

ula new 2

Wahida yang sudah menetap di Saudi sejak 2019 berkongsi gambar menarik ketika mengunjungi Kota Al Ula.

"Mungkin ramai yang memang tak tahu Al Ula ni besar. Al Ula tempat orang tinggal bertahun-tahun, ada sekolah, ada masjid, ada hospital, ada airport, ada pejabat kerajaan, ada semualah.

"Kalau Al Ula haram untuk pergi dan didiami, mestilah tak ada orang di Al Ula tu... orang Arab Saudi kan semua Muslim.

"Yang tidak digalakkan untuk pergi adalah Mada'in Saleh (Hegra). Tempat ini dalam 30 kilometer atau around 20 minit dari Al Ula," kongsinya.

Jelas pensyarah yang sudah menetap di Saudi sejak Ogos 2019 itu, Mada'in Saleh atau dikenali sebagai Sin City of Madain Saleh tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya.

"Nak masuk Madain Saleh, kena ada permit. Dia bukan suka-suka boleh lalu nampak tepi jalan. Jangan risaulah, kalau boleh tak nak lalu situ. Ada banyak lagi jalan lain yang tak perlu pun lalu situ.

"Madain Saleh tu orang Arab Saudi tak sebut Madain Saleh. Orang dia akan sebut Sin City of Madain Saleh. Dan saya sendiri pun tak pernah pergi dan tak ada keinginan nak pergi Mada'in Saleh tu," kongsinya.

Sudah banyak kali mengunjungi Kota Al Ula, Wahida dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar membuat rujukan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan 'fatwa' sendiri mengenai lokasi berkenaan.

"Saya pergi Al Ula lebih 20 kali dalam hidup. Saya ni kategori most loyal visitors dekat Al Ula. Tapi bukan Madain Saleh. Jadi janganlah nak mendosakan orang atau nak melaknat orang hanya sebab dia ke Al Ula.

"Al Ula tu, Rasulullah pun pernah solat dekat situ. Hidup ni kena berilmu, rajin membaca, rajin bertanya. Asal baca tajuk saja, terus kita laknatkan orang. Akhirnya kita dapat dosa free," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain