suria

Ragu-ragu guna span di pantri untuk cuci pinggan, bimbang kongsi dengan non-Muslim? Ini huraian hukumnya

Ramai yang masih tertanya-tanya hukum berkongsi peralatan dengan orang bukan Islam.

SETIAP individu mempunyai pandangan atau pegangan masing-masing apabila melibatkan soal makanan, terutamanya status halal serta kebersihannya.

Khususnya bagi individu Muslim, sudah pasti mereka menitikberatkan setiap aspek bukan hanya penyediaan makanan, tetapi merangkumi peralatan yang digunakan.

Dalam soal ini, pasti ada dalam kalangan kita yang tidak dapat ‘lari’ daripada memikirkan hukum bersabit perkongsian peralatan dengan orang bukan Islam.

Ada yang masih tertanya-tanya, apakah hukum jika orang Islam menggunakan span yang sama dengan orang bukan Islam untuk mencuci pinggan mangkuk, contohnya ketika berkongsi pantri di pejabat.

Persoalan tersebut dihuraikan dengan tuntas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam tulisannya di laman Maktabahalbakri:

"Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir.

pantri 1

Pantri di sebuah pejabat. -Gambar hiasan

"Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 2/577).

"Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ambil mudah, fasik jika lebih 3 kali lelaki berseluar pendek atas lutut! Tak boleh jadi wali, saksi nikah

"Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan, Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya. (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

"Oleh yang demikian, tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan bagi seseorang Muslim untuk menggunakan span yang sama dengan non-Muslim bagi membasuh perkakas makanan seperti sudu dan garpu kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya," jelasnya.

Tambah beliau lagi, selagi mana tidak ada padanya sebarang tanda-tanda atau bukti yang menunjukkan kepada kenajisannya secara zahir, maka ia tetap dihukumkan sebagai suci dan harus untuk digunakan.

"Kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang.

"Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan sebagaimana firman Allah SWT:

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran," terangnya. (Surah al-Baqarah: 185)

Semoga pencerahan tersebut dapat merungkai kekeliruan ramai mengenai perkongsian peralatan antara orang Islam dan orang bukan Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain