DALAM era serba moden hari ini, segelintir individu dilihat tidak menghiraukan soal dosa dan pahala sehingga tergamak beraksi lucah di media sosial. Kebanyakan yang melakukan perbuatan terkutuk ini menggelarkan diri mereka sebagai akaun dark side (DS) dan turut mengenakan caj sekiranya ada yang mahu berinteraksi secara maya atau membeli video lucah. Bimbang dengan perkembangan itu, seorang individu bertanyakan soalan mengenai perbuatan maksiat di media sosial kepada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. "Sejak akhir-akhir ini tular di media mengenai segelintir masyarakat umumnya yang beragama Islam membuat hubungan seks rambang dengan hanya melalui video call atau voice call. "Adakah hal ini termasuk di dalam kategori zina? Adakah boleh kita menerima upah atau gaji jika berbuat sedemikian? Saya memohon pencerahan," soal individu itu. Jawapan: Berdasarkan konteks soalan, jelaslah perbuatan menjalinkan hubungan seks melalui panggilan video dan audio, rakaman suara dan video, antara dua individu adalah diharamkan di dalam Islam dan wajib ditinggalkan. Berkenaan hukum mengambil upah daripada perbuatan seks atas talian, sama ada melalui video atau audio, maka hukumnya perlu kembali kepada hukum ijarah (sewa perkhidmatan). Ada 4 rukun ijarah: 1. Orang yang mengupah 2. Orang yang diupah 3. Ujrah (bayaran) 4. Manfaat bagi yang mengupah Segelintir individu seolah-olah hilang rasa malu apabila tergamak beraksi lucah di media sosial. -Gambar hiasan Antara syarat syarat manfaat mestilah ia manfaat yang bernilai menurut syarak. Justeru perkara yang tiada nilai dagangan pada syarak tidak boleh dijadikan perkhidmatan dan haram perkhidmatan tersebut serta bayarannya. Berkata Syaikh Muhammad az-Zuhaili: “Dan tidak dibenarkan ijarah atas manfaat manfaat yang diharamkan kerana mengambil manfaat daripada perkara yang haram adalah haram juga. Justeru tidak boleh mengambil bayaran atau upah daripadanya juga seperti menggunakan mayat, darah, mengajar ilmu sihir, atau melakukan pelacuran.” [Rujuk al-Mu`tamad] Berdasarkan keterangan di atas maka jelaslah haram mengambil upah daripada perbuatan seks melalui video dan audio. Allah berfirman: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) [Surah al-Isra’, 17:32] Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim] Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube