suria

Isteri kerja ‘gomen’ risau gaji tak berkat gara-gara sara suami suri rumah... Ini hukum Islam setiap pasangan perlu tahu

Isteri yang keluar bekerja merupakan satu kelaziman biasa pada hari ini. -Gambar hiasan

SUAMI merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari rezeki dan menyediakan tempat berteduh untuk anak-anak dan isteri.

Di zaman moden hari ini, ramai dalam kalangan isteri turut bekerja demi membantu menyara keluarga, malah ia juga sudah dianggap sebagai satu kelaziman biasa.

Di laman web Maktabah Al-Bakri, seorang wanita bertanya kepada mantan mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri tentang hukum seorang isteri bekerja demi menyara keluarga.

"Saya seorang isteri yang bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Saya seorang penjawat awam dan mempunyai pekerjaan yang stabil berbanding suami. Apabila kami mempunyai anak, kami telah membuat pilihan atas persetujuan bersama supaya hanya saya yang bekerja dan suami menguruskan anak-anak.

"Baru-baru ini, saya ada mendengar ceramah menyatakan rumah tangga yang isterinya mencari nafkah, tidak akan cukup dan sering kekurangan. Ini kerana hilang keberkatan pada rezeki. Soalan saya, adakah perlu saya berhenti kerja dan hanya suami yang bekerja?

file7afaa8krh7cje86l4r9

Beban kewangan menyebabkan segelintir wanita terpaksa mendahulukan kerjaya sebelum keluarga. -Gambar hiasan

"Adakah apa yang saya buat ini, usaha saya ini hanya sia-sia dan tidak mendapat reda Allah? Dalam situasi dan umur sekarang, diakui agak sukar untuk suami mencari pekerjaan. Mohon pandangan dan nasihat ustaz," ujar wanita itu.

Jawapan:

Pada hari ini, menjadi satu kelaziman apabila suami dan isteri saling bekerja bagi menyara kehidupan mereka bersama, terutamanya mereka yang mempunyai anak, maka sudah tentu banyak komitmen yang perlu dilunaskan seperti kelengkapan rumah, keperluan diri, hutang, bil air dan elektrik, sewa rumah dan seumpamanya.

Daripada Aisyah R.Anha: Sesungguhnya orang-orang perempuan mukminah juga turut solat Subuh bersama Nabi SAW. Mereka solat dengan berselimutkan kain-kain mereka. Kemudian setelah solat, mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan tiada sesiapa pun mengenali mereka.” [Riwayat al-Bukhari]

ARTIKEL BERKAITAN: Makin ramai buat akaun ‘dark side’ jual beli video porno demi ‘sedapkan’ nafsu... Ini peringatan untuk umat Islam

Sayyid Qutb dalam tafsirnya menyebutkan: Suruhan supaya kaum wanita tetap berada di dalam rumah tidak bererti mereka tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali. Ayat yang dimaksudkan adalah tempat sebenar bagi mereka adalah di rumah, manakala selain daripada tu adalah suatu bentuk pengecualian yang diberikan apabila ada keperluan dengan kadar-kadar tertentu.

Rumah adalah satu-satunya tempat yang menjamin nilai-nilai kewanitaan terpelihara seperti yang dikehandaki Allah SWT. [Lihat Tafsir al-Qurtubi]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan harus dan dibolehkan untuk wanita keluar berkerja berdasarkan garis panduan dan dhawabit berikut:

1. Niat ikhlas bekerja kerana Allah.

2. Mendapat keizinan bapa atau suami.

3. Tidak mengabaikan tanggungjawab rumah tangga, suami dan anak-anak sekiranya telah berkahwin.

4. Tidak menimbulkan sebarang fitnah ketika keluar bekerja dan ketika pulang

5. Tidak berpakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan juga tidak bergaul secara bebas.

file72of6xaqhmw1m1pjk8y0

Wanita perlu menjaga batas-batas mereka sebagai isteri ketika bekerja. -Gambar hiasan

Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk saudari bekerja dengan syarat menepati garis panduan di atas. Dalam pada itu, si suami juga tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kerana ia kewajipan ke atas seorang suami.

Kami juga menasihatkan agar si suami cuba mencari kerja yang sesuai dengan kemampuannya agar peranannya sebagai suami dapat dijalankan dengan lebih baik. Adapun berkenaan rezeki, rezeki itu sendiri datangnya dari Allah.

Allah berfirman: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan.

“Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” [Surah Hud]

Allah juga berfirman: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. [Surah Ibrahim]

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain