OLEH: ARIF SOLIHIN BIN SAHRUL HASLAN MAKANAN dan minuman merupakan rezeki terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua makhluk di atas muka bumi ini tanpa mengira yang beriman atau yang kufur kepada-Nya. Adalah menjadi suatu kewajipan setiap umat Islam untuk mensyukuri atas nikmat tersebut dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Selain daripada ibadah yang wajib seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan mengeluarkan zakat, perbuatan berdoa iaitu memohon kepada Allah juga merupakan suatu bentuk perintah yang disyariatkan dalam Islam. Ia seperti mana difrimankan oleh Allah yang maksudnya; Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu” - [Surah Ghafir Ayat 60]. Menurut kamus dewan edisi keempat doa bermaksud permohonan atau permintaan kepada tuhan. Setiap Muslim di atas muka bumi ini apabila menadah tangan kepada Allah sudah pasti menginginkan permintaannya dimakbulkan. Adakalanya pada suatu masa tertentu seseorang merasakan dirinya telah berdoa kepada Allah dengan penuh keyakinan tapi masih tidak dimakbulkan lagi doanya. Daripada melahirkan perasaan sangka buruk dalam hati terhadap Allah SWT, sewajarnya kita bermuhasabah terhadap diri sendiri. Banyak punca doa seseorang itu ditolak Allah. Namun begitu, jangan bimbang doa-doa yang tidak diperkenankan akan digantikan Allah dengan ganjaran pahala di akhirat kelak. Umat Islam dianjurkan untuk berdoa dan memohon bantuan Allah. -Gambar hiasan Ambil mudah tentang doa Dalam adab berdoa, kita perlu tahu punca ia tidak dimakbulkan. Ia termasuklah kelalaian diri serta sikap mengambil enteng tentang halal haram dalam pemilihan makanan dan minuman seharian. Hal ini selari dengan sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “.... Kemudian baginda menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya juga dari yang haram dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?” - (Hadis Riwayat Muslim). Dengan perkembangan teknologi dan media sosial pada zaman ini, dapat kita lihat pelbagai jenis makanan dan minuman yang dikongsi di media sosial menjadi tular. Adalah menjadi tanggungjawab sebagai Muslim yang taat untuk menitikberatkan soal pemakanan yang akan masuk ke dalam perut kerana ia akan menjadi sebahagian darah daging dalam diri. Sikap sebahagian umat Islam yang mengambil mudah soal status halal sesuatu makanan sewajarnya diubah bagi mengelakkan hati menjadi mati dan seterusnya menjadi asbab doa tidak dimakbulkan Allah. Makanan yang tidak disembelih dengan baik perlu dielakkan. -Gambar hiasan Makanan syubahah Makanan bersifat syubhah turut ditekankan dalam Islam supaya kita menjauhinya. Perkara ini bertepatan dengan hadis yang maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang. Maka siapa yang meninggalkan perkara syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan - (Hadis Riwayat Tirmizi). Secara amnya, kita dapat mengetahui perkara halal dan haram dengan jelas melalui dalil dari al-Quran dan hadis. Walaubagaimanapun terdapat perkara syubhah di antara dua perkara tersebut yang menjadi samar-samar sama ada ia adalah halal atau haram. Sebagai contoh, jika sebuah restoran mengatakan bahawa menu mereka tiada unsur haram seperti “no pork” (tiada daging babi) atau “no lard” (tiada lemak babi) adakah ia bermaksud makanan mereka bebas dari unsur haram secara keseluruhan? Bagaimana pula dengan penggunaan arak dalam masakan mereka? Hadis di atas memberi peringatan kepada kita untuk terus menjauhi perkara syubhah seperti ini untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Umat Islam perlu memastikan makanan yang diambil adalah halal. -Gambar hiasan The Star Utamakan makanan halal Justeru, setiap Muslim hendaklah mengambil pengajaran dan beramal dengan firman Allah SWT tentang perintah mengambil makanan yang halal: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu - [Surah Al-Baqarah Ayat 168]. Di Malaysia sangat mudah untuk mendapatkan makanan dan minuman yang halal di mana sekiranya kita berasa ragu terhadap sesuatu status makanan itu, kita boleh melakukan semakan di laman sesawang Portal Halal Malaysia. Walaubagaimanapun bagi mereka pergi melancong atau menetap di negara yang minoriti Muslim berkemungkinan akan menghadapi kesukaran untuk mencari makanan yang halal. Cara yang paling selamat sekali ialah dengan memasak makanan sendiri atau membawa pek makanan segera dari Malaysia. Cara ini paling aman sekiranya kita mahu menikmati makanan tanpa rasa bimbang memakan makanan yang haram atau syubhah. Namun begitu, kita perlu mengeluarkan sedikit bajet untuk membeli bahan masakan dan pek makanan segera yang mencukupi. Paling sempurna sekali adalah dengan memastikan bahan masakan terutama bahan mentah yang dibeli seperti daging mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Alternatif lain untuk mencari makanan halal ialah memilih restoran yang mempunyai logo halal. Ini merupakan cara yang terbaik jika tidak berkemampuan atau mempunyai halangan untuk memasak makanan sendiri. Kebiasaanya pemilik restoran di luar negara yang meletakkan logo halal di papan tanda kedai bertujuan memaklumkan kepada pelanggan bahawa pemiliknya merupakan seorang muslim dan restorannya menggunakan bahan-bahan yang halal sahaja. [Penulis ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Shariah (Industri Halal) Universiti Sains Islam Malaysia]