suria

Gurauan perempuan mahu poligami adalah melampau, hina agama... PU Syed kesal wanita kurang ilmu buat komen pelik

Hantaran yang dibuat seorang pelayar TikTok undang reaksi pelbagai pihak termasuk PU Syed.

"SETAHUN mengandung dua kali... tak sempat sembuh betul-betul dah kena 'bantai' lagi!"

Demikian antara komentar nakal yang ditinggalkan netizen pada satu perkongsian di TikTok yang memaparkan karikatur seorang wanita mempunyai dua orang suami dengan kapsyen 'katakanlah perempuan boleh poligami'.

Bukan itu sahaja, beberapa individu lagi turut meluahkan rasa gembira seandainya golongan wanita turut dibenarkan berpoligami seperti mana kaum adam.

"Kalau boleh nak empat, terus cukupkan kuota... senang.

"Seronoknya tak terkata. Suami pertama tolong handle kenduri isteri nak nikah nombor dua, cuba bayangkan tolong gubah hantaran lagi.

"Kalau talak di tangan isteri, memang banyaklah duda," ujar beberapa pelayar wanita lagi.

Antara komentar pelayar wanita pada hantaran tersebut.

Antara komentar pelayar wanita pada hantaran tersebut.

Difahamkan karikatur tersebut dibuat sebagai tindak balas terhadap beberapa kes poligami melibatkan individu dikenali hingga menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen terutamanya wanita.

Walaupun dalam bentuk gurauan, namun ramai warga maya meluahkan rasa kurang senang dengan karikatur berkenaan kerana menurut mereka ia sebagai tindakan mempersendakan hukum agama.

Tampil mengulas mengenai hal itu, pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, perkara tersebut tidak seharusnya dibuat sebagai gurauan.

Tegas Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 41, perbuatan sedemikian merupakan salah satu perkara yang menghina ketetapan agama.

Malah beliau turut menyifatkan golongan wanita yang meninggalkan komen sedemikian sebagai kurang ilmu agama sehingga tergamak membuat hantaran yang memalukan dan jelik meskipun atas dasar gurauan.

IMG_2722

Antara reaksi warga maya berhubung gurauan wanita berpoligami.

"Ramai kaum wanita yang kurang ilmu agama muncul, meninggalkan komen yang sangat menyalahi agama serta melontarkan komen pelik dengan anggapan itu adalah gurauan. Namun hakikat sebenarnya ia satu perkara yang menghina ketetapan agama.

"Terkadang apabila terlalu benci kepada sesuatu ketetapan, manusia boleh bertindak mengikut pandangan akal semata-mata.

"Ini bukan perkara yang boleh dibuat lawak," tegasnya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu Syed turut berkongsi firman Allah dalam surah At-Tawbah ayat 65 yang bermaksud "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Tambah pendakwah itu lagi, kaum wanita seharusnya sedar bahawa menulis komentar seperti itu adalah salah dan boleh membawa kepada dosa besar yang mana dikategorikan sebagai 'istihza' iaitu mempersendakan agama walaupun nampak macam gurauan.

Jelas beliau, ia berikutan perkara tersebut melibatkan hukum hakam agama.

"Jika mereka sedar... mohonlah ampun kepada Allah dan memadam kembali posting atau komen yang mereka tinggalkan itu," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain