HARI graduasi merupakan kemuncak kejayaan setiap pelajar universiti dan biasanya disambut bersama ahli keluarga termasuklah ibu bapa. Setiap kali tiba musim konvokesyen, banyak momen dan isu berbangkit mengenai acara itu dikongsikan di media sosial. Seorang wanita berstatus ibu yang sedang dalam tempoh idah bertanyakan mengenai hukum untuk dia menghadiri majlis konvokesyen anak yang bakal berlangsung. "Saya ingin bertanya berkenaan hukum idah. Suami saya baru meninggal dunia pada 3 Jun lalu. "Tetapi anak lelaki saya akan bergraduasi pada 19 Ogos. Anak saya juga merupakan pesakit Talasemia. Dia sangat berharap saya ada bersama nanti. "Soalan saya adakah saya boleh pergi ke majlis graduasi tersebut?" tanya si ibu. Keraguannya itu dijawab oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Hari graduasi merupakan kemuncak kejayaan pelajar universiti. -Gambar hiasan Sebagaimana dinyatakan Zulkifli, kewajipan untuk menjalani tempoh idah adalah berbeza bagi wanita yang bercerai dalam keadaan tidak mengandung, bercerai semasa mengandung atau kematian suami. Bagi mereka yang kematian suami, idah diwajibkan selama empat bulan dan 10 hari ke atasnya. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234, maksudnya: “Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” Para ulama juga membahaskan sebelum ini mengenai larangan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin dengan lelaki lain atau keluar dari rumah sepanjang tempoh idah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/176) ARTIKEL BERKAITAN: Suami terpaksa tinggal solat Jumaat, anak di rumah tak ada orang jaga... Dr Zulkifli jawab dapat ‘pelepasan’ atau tidak? Katanya lagi, tempoh idah ini juga thabit (kukuh) seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah R.Anha. Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. "Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.” (Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)) Jelasnya, antara sebab mengapa Islam memerintahkan berkabung untuk tempoh tertentu bagi wanita yang kematian suami adalah untuk menzahirkan kesetiaan dan meraikan hak suaminya yang besar. Menjawab persoalan yang diajukan dan perihal keadaan kesihatan anak wanita itu, Zulkifli terlebih dahulu menjelaskan secara ringkas mengenai penyakit Talasemia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan haemoglobin (berfungsi membawa oksigen ke seluruh tisu dalam badan) telah terjejas. Wanita dalam tempoh berkabung tidak boleh berhias untuk keluar rumah. -Gambar hiasan Maka wanita dalam tempoh idah ini diberikan kelonggaran untuk berada dalam majlis graduasi untuk memenuhi hajat dan keperluan. Alasannya, dikhuatiri akan berlaku mudarat kepada anak yang menghidap Talasemia apabila dia bersendirian dan tanpa pengawasan orang lain. Bagaimanapun, terdapat syarat dan adab-adab perlu dijaga mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh Islam. Antara adab-adabnya adalah tidak memakai pakaian yang hebat dan berhiasan serta berwangi-wangian seperti wanita yang lain ketika keluar dari rumah. Ini kerana sangat jelas perbuatan tersebut tidak menzahirkan sebarang penghormatan kepada suaminya yang baru meninggal dunia. Para ulama telah menyimpulkan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad (berkabung), antara lainnya adalah: Bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Terdapat syarat dan adab-adab perlu dijaga bagi wanita dalam tempoh idah. -Gambar hiasan Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat kerana nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat. Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali. (Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291) Zulkifli menyimpulkan dalam situasi yang disebutkan oleh wanita yang bertanya, keluar rumah semasa masih dalam tempoh idah hendaklah dengan meraikan batasan hukum syarak. Walaupun syarak menetapkan agar mereka berkabung dan tidak berhias-hias dalam tempoh empat bulan 10 hari, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah mereka wajib menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta tempat tinggal sepanjang tempoh idah dan berkabung itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube