SOLAT merupakan amalan pertama yang dihisab di akhirat kelak berbanding perkara-perkara lain. Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil serius tentang kesempurnaan dalam setiap solat dilakukan. Menyedari betapa pentingnya pengetahuan tentang kesempurnaan solat, seorang individu menyatakan keraguannya mengenai situasi ketika menjadi makmum. Persoalan berkaitan bacaan al-Fatihah itu diajukan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. "Saya selalu kalau solat berjemaah baca al-Fatihah sedikit lambat kerana takut tersilap baca. "Sewaktu saya masih sedang membaca al-Fatihah, imam sudah rukuk. Jadi boleh ke saya rukuk bersama atau perlu habiskan bacaan?," tanya individu tersebut. Membaca al-Fatihah dalam setiap solat adalah wajib. -Gambar hiasan Menurut Zulkifli, membaca a-Fatihah adalah wajib bagi makmum sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah. Pandangan itu dinyatakan golongan Syafieyyah berdasarkan sabda Nabi SAW dalam Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394). Maksudnya: “Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah).” ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang tinggal solat, tapi ‘ganti’ dengan amalan baik lain untuk dapat pahala... ini penjelasan UAI! Selain itu Zulkifli turut berkongsi hadis sahih Riwayat al-Daraqutni (1225) dalam Sunan-nya daripada Ziyad. Maksudnya: “Tidak memadai solat orang yang tidak membaca fatihah al-kitab di dalamnya.” Kata Zulkifli, para ulama Syafieyyah dan Hanabilah juga menaskan bahawa makruh ke atas makmum untuk membaca (al-Fatihah) semasa imam sedang membaca secara jahar. Tetapi ulama Syafieyyah mengecualikan keadaan apabila makmum itu berasa takut akan terlepas (atau tidak sempat menghabiskan) sebahagian bacaan al-Fatihah. Malah ulama Syafieyyah juga menaskan bahawa jika seorang makmum itu mengetahui yang imamnya tidak akan membaca surah lain selepas al-Fatihah, atau membaca surah yang pendek sehingga makmum itu tidak mungkin dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihah, maka (diharuskan) dia membacanya bersama ketika imam juga membacanya. Umat Islam yang menunaikan solat berjemaah memperolehi pahala berlipat kali ganda. -Gambar hiasan Namun digalakkan bagi makmum untuk membacanya semasa saktah imam (ketika imam diam selepas membaca al-Fatihah), atau apabila makmum tidak dengar bacaan imam atas faktor jauh atau pekak. Justeru dalam menjawab persoalan individu berkenaan, Zulkifli menasihatkan agar seseorang yang berdepan masalah sama agar membaca al-fatihah ketika permulaan imam membacanya dan hendaklah menghabiskannya kerana makmum berada pada kedudukan makmum muwafiq dan bukan makmum masbuq. Justeru kata Zulkifli, adalah wajib bagi makmum menghabisi al-Fatihah. Dia juga menasihatkan agar sentiasa membaca al-Fatihah dan mempelajarinya supaya lebih fasih sehingga dapat mengaji dan membaca surah berkenaan seperti orang lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube