suria

Wanita pakai tudung singkat paras bahu, adakah dikira menutup aurat? Ini penjelasan bekas mufti

Wanita beragama Islam perlu berhati-hati dalam berfesyen. -Gambar hiasan Good hijab

WANITA dan fesyen memang tak dapat dipisahkan.

Namun sebagai wanita beragama Islam, mereka perlu berhati-hati dengan aurat dan sentiasa memilih fesyen yang patuh syariah.

Persoalan berkaitan wanita dan fesyen turut diajukan kepada mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman web Maktabah Albakri.

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Seri. Bolehkah kita memakai tudung pada paras atas bahu?

Jawapan:

Perkataan aurat merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki atau perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutup dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. [Lihat Mughni al-Muhtaj]

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. [Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah]

2

Pelbagai jenis tudung dijual di pasaran negara kita. -Gambar hiasan The Star.

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib seperti mana disepakati ulama berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah al-Nur]

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama menetapkan hukum wajib menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadis Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” [Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan bahawa aurat bagi perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan [Lihat Ithaf Sadah al-Muttaqin].

123rf

Wanita Islam perlu menjaga aurat mereka. -Gambar hiasan 123rf

Meskipun dalam isu ini, seorang perempuan itu memakai tudung (atas bahu) bagi menutup aurat kepalanya, namun sebaiknya kita menjaga aurat kita dengan sempurna kerana ia dituntut di dalam Islam. Antaranya:

1. Tidak memakai pakaian nipis/menampakkan warna kulit

2. Pakaian tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

3. Tidak berhias dan tidak menggunakan wangi-wangian bagi tujuan menarik perhatian lelaki.

4. Tudung melepasi paras dada.

Atas asas itu, kami nasihatkan sebaiknya seorang perempuan itu memakai tudung dengan sempurna, bukan sahaja auratnya, malah bagi menjaga dirinya dari fitnah-fitnah terutama di akhir zaman ini.

Mengikuti fesyen tidaklah salah, namun ia mestilah mematuhi hukum syarak yang telah ditetapkan.

Justeru itu, kami nasihatkan pakailah tudung dengan sempurna kerana ianya lebih dan dituntut di dalam Islam.

Allah berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Ahzab]

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain