suria

Penceramah diminta tarik balik kenyataan kontroversi wanita boleh nikahkan diri sendiri tanpa wali

JMNPs meminta penceramah ini menarik semula kenyataannya bahawa wanita boleh menikahkan diri sendiri tanpa wali. -foto TikTok

JABATAN Mufti Negeri Perlis (JMNPs) menegur Ustaz Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari yang mengeluarkan kenyataan bahawa wanita boleh menikahkan diri sendiri tanpa wali.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, jabatan itu berkata apa yang dinyatakan Muhammad Nuruddin boleh menimbulkan ketidaktenteraman dan melanggar undang-undang sedia ada di negeri-negeri dalam Malaysia.

"JMNPs memandang serius cadangan penceramah agama Ustaz Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari dalam satu video yang disebarkan menyatakan bahawa wanita boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa wali. Ini dengan cara menawarkan pernikahan kepada pasangannya bersama wujud dua orang saksi.

"Beliau juga menyatakan hal itu boleh dilakukan di tempat mana dan pada bila masa sahaja. Walaupun cadangan itu ditujukan kepada Puan Ardini Angline Tan dan Saudara Sabri Yunus untuk bertaglid kepada Mazhab Hanafi dalam perkahwinan tanpa wali, tetapi kesannya jika hukum itu terpakai untuk mereka maka secara lojiknya ia juga terpakai untuk orang lain.

"Andainya cadangan tersebut diterima pakai, ramai wanita yang sedang berada bersama pasangannya akan menikahkan diri sendiri tanpa pengetahuan wali. Apatah lagi beliau menyatakan perkara itu boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja. Ini akan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan perlanggaran kepada undang-undang sedia berkuatkuasa di negeri-negeri," ujar JMNPs.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terlalu ikut nafsu hingga abai soal wali nikah, ada pasangan dah kahwin 34 tahun tapi tak sah!

Tambah jabatan itu lagi, cadangan yang dibuat oleh penceramah berkenaan juga dianggap mencabar keputusan pihak autoriti agama negeri.

Dalam kenyataan sama, JMNPs turut meminta penceramah agama itu untuk menarik semula padangannya yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman

"Beliau bukanlah autoriti agama (Waliy al-Amr) dan cadangan beliau itu boleh dianggap sebagai mencabar keputusan pihak autoriti agama negeri. Pihak Jabatan ini menasihatkan orang ramai agar tidak memakai cadangan beliau tersebut dan meminta beliau menarik semula pandangan itu kerana ia tiada dawabit (terma dan syarat) serta boleh menimbulkan ketidaktenteraman.

"Jabatan ini juga menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya merujuk dan mendapatkan kelulusan dari pihak autoriti agama, bukan pandangan yang seperti itu," ujar JMNPs lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain