KETIKA penduduk Palestin terus bermandi darah akibat serangan kejam Israel, ada segelintir individu yang tidak mahu melihat bumi para anbiya itu merdeka. Menerusi komen-komen di media sosial, golongan ini menyuarakan rasa takut sekiranya kemerdekaan Palestin akan membawa kepada kemusnahan dunia dan seterusnya berlaku kiamat. Mengulas hal ini, pendakwah bebas Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee berharap umat Islam akan terus ikhlas dalam perjuangan bersama Palestin dan pada masa sama mempersiapkan diri untuk berdepan kedatangan kiamat. "Kiamat, mati ini, hanya Allah yang tahu. Kita tak tahu bila kita mati, bila hari kiamat. Tapi perkara itu pasti akan berlaku. Sebab itu orang Islam diminta sentiasa bersedia. Komen warga maya tentang isu Palestin. "Allah rahsiakan mati dan kiamat supaya kita umat Islam sentiasa bersedia, bukannya apabila dah tahu nak mati atau nak kiamat, baru bersedia. "Jadi kalau itulah pemikiran kita, susahlah kita umat Islam nak masuk syurga. Saya fikir perkara ini perlu dilihat dengan serius. Kenapa kita takut dengan kiamat? kita tak perlu takut dengan kiamat atau mati kalau kita dah bersedia," ujarnya kepada mStar. Ridhuan turut berharap agar orang ramai membuang pemahaman sebegitu kerana hari kiamat merupakan kekuasaan Allah yang tidak dapat diramal oleh manusia. Ramai rakyat Malaysia menyelar tindakan kejam Israel ke atas penduduk Palestin. -Gambar hiasan Azman Ghani/The Star "Fahaman yang tak betul ini perlu dijauhkan. Soal kemenangan Palestin ini kerja Allah, bukan kerja kita. Kalau Palestin menang pun, belum tentu akan berlakunya kiamat. Saya fikir pemikiran begini kita perlu buang jauh-jauh. "Kita tidak ikhlas kalau kita merasakan kita takut Palestin menang, itu tanda kiamat dan sebagainya. Orang Islam yang ikhlas, yang bersedia, dia tak kisah bila mati atau bila kiamat. Itu takdir, itu kuasa Allah. ARTIKEL BERKAITAN: Kita sudah berada di akhir zaman... Ambillah iktibar berdasarkan 4 tanda pesan nabi "Tak sempurna iman kita kalau kita tak mendoakan kepada kemenangan Palestin, tak menyokong kemenangan Palestin atau kita takut-takut nak sokong Palestin. Ada yang takut nak kata Palestin ini isu agama, mereka kata ini isu kemanusiaan semata-mata, itu pun tak betul," ujarnya lagi. Tambah Ridhuan, sekiranya berlaku kiamat selepas kemenangan Palestin, sekurang-kurangnya umat Islam yang turut sama berjuang akan meraih saham akhirat yang akan memberi manfaat buat mereka. Rakyat Malaysia bersolidariti buat rakyat Palestin. -Gambar hiasan Azman Ghani/The Star "Sepatutnya kita semakin banyak berdoa. Makin Israel menyerang Palestin, membunuh secara menggila, kita terus berdoa tanpa henti. Jangan pula kerana takut dia menang, kita berdoa sekali sekala, tak boleh.. Menang atau kalah itu kerja Allah. "Kalau ditakdirkan dengan kemenangan itu maka berlakunya kiamat, sekurangnya kita telah beri satu saham besar dalam kehidupan kita untuk Islam. Maknanya kita telah bersedia. Pada saya teruskan, jangan berhenti berdoa untuk kemenangan umat Islam di Palestin. "Tak usahlah kita buat sangkaan yang pelik-pelik, makna kita takut mati, kita tak bersedia. Nasihat saya kita sebagai umat Islam, bersedialah kiamat datang dekat atau lewat, mati datang cepat atau lambat. Kalau dah bersedia, kita tak perlu bimbang apa-apa dah," pesannya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube