suria

Lelaki menyesal, kucing Parsi dikurung mati kebuluran... Seminggu tuan si bulus tinggalkan rumah - “Saya beri makan sedikit”

Kucing merupakan haiwan yang biasa dibela oleh manusia. -Gambar hiasan

MENJAGA haiwan peliharaan memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan.

Maka persediaan dan penjagaan rapi perlu dititikberatkan agar haiwan yang dipelihara tidak terabai.

Namun, baru-baru ini seorang individu dengan penuh kesal mengakui kucingnya mati setelah ditinggalkan selama seminggu di rumah.

Katanya, kucing baka Parsi itu berkemungkinan mati kebuluran disebabkan makanan yang dibekalkan tidak mencukupi.

Perkara itu diceritakan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mendapatkan pencerahan tentang apa yang berlaku.

Kucing merupakan haiwan yang biasa dibela oleh manusia. -Gambar hiasan

Kucing yang dibela biasanya dikurung sewaktu ketiadaan tuan di rumah. -Gambar hiasan

"Assalamualaikum Datuk Seri. Saya ada seekor kucing Parsi yang cantik. Satu hari, saya musafir dan mengurung kucing tersebut.

"Saya hanya beri makan sedikit, musafir saya mengambil masa seminggu. Apabila pulang kucing tersebut mati. Bagaimana keadaan saya?" tanya individu tersebut.

Bagi menjawab persoalan tersebut, Zulkifli memberikan pencerahan mengenainya di dalam tulisan beliau di laman Maktabahalbakri.

Jelas Zulkifli, berihsan kepada manusia dan haiwan adalah wajib.

"Antara bentuk ihsan kepada haiwan adalah dengan memberi makan dan minum sementelahan lagi haiwan peliharaan kita dan di bawah tanggungan kita.

"Banyak hadis menunjukkan betapa hukumnya berdosa kepada mereka yang mengabaikan tanggungjawab dalam memberi makan kepada haiwan peliharaan sehingga akhiranya membawa kematian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lega sangat dapat tahu hukum bulu kucing lekat pada sejadah, pakaian untuk solat... Pencinta si bulus kena ambil tahu

Selain itu Zulkifli turut berkongsi hadis Nabi Muhammad SAW tentang perbuatan mengabaikan kucing peliharaan.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya.

Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah” -Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Sehubungan itu tambah Zulkifli, menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan.

"Walaupun begitu dalam kes saudara kami berpendapat isu ini lebih kepada tersilap jangkaan atau terlupa dan kita mengharapkan semoga Allah SWT mengampuni dosa kita," katanya.

Kucing merupakan haiwan kesayangan Rasulullah. -Gambar hiasan

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya,” -Riwayat Ibn Majah (2043)

Justeru, hendaklah beringat apabila kita bermuamalah (mengatur hal-hal berkaitan) dengan haiwan.

Pemilik haiwan perlu cakna tentang keperluan makan dan minum haiwan agar kita selamat daripada bersifat menzalimi haiwan peliharaan kita sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain