JUMAAT adalah penghulu segala hari bagi umat Islam. Terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi yang mengejar fadilat tersurat Jumaat dan meninggalkan kemungkaran pada hari tersebut. Maka, tidak hairanlah ramai merebut peluang terutama sekali dengan mengerjakan solat Jumaat bagi golongan lelaki. Namun, ada kalanya golongan lelaki terikat dengan tuntutan lain seperti kerja dan komitmen terhadap anak dan isteri bagi mereka yang sudah berkahwin. Seperti yang ditanyakan oleh seorang individu bergelar bapa baru-baru ini, dia berdepan dengan situasi yang menghalangnya untuk hadir ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. "Saya ingin bertanya... apakah hukum tidak pergi solat Jumaat kerana menjaga anak di rumah. "Situasi saya bawa anak balik ke rumah sewa, manakala rumah isteri saya di daerah lain (perhubungan jarak jauh). "Isteri tiada kerana keluar outstation (luar kawasan). Jika hantar pada jiran, saya bimbang anak tidak biasa dan menangis," tanya lelaki tersebut. Soalan tersebut dijawab oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menjaga anak merupakan salah satu tanggungjawab seorang suami. -Gambar hiasan Menurut Zulkifli, meninggalkan solat Jumaat atas alasan untuk menjaga anak adalah tidak menepati syarak atau keuzuran, justeru ia tidak dibenarkan. Allah berfirman dalam surah al-Jumu'ah dalam ayat 9 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat). Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” (Riwayat Abu Daud (1067) Solat Jumaat adalah diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat sebagaimana disusun oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menurut al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain, 1/159. 1. Beragama Islam 2. Baligh 3. Berakal 4. Merdeka (bebas) sepenuhnya. 5. Lelaki 6. Sihat tubuh badan 7. Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan Justeru, sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. Sebagai kesimpulan menjawab perkara di atas, meninggalkan solat Jumaat atas alasan menjaga anak di rumah adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ia tidak menepati keuzuran yang dibenarkan syarak. Menunaikan solat Jumaat adalah wajib bagi golongan lelaki. Oleh itu, dalam isu ini sewajarnya suami dan isteri duduk berbincang dibawa berbincang bersama agar perkara ini (tinggal solat Jumaat) boleh dielakkan. Antara perkara yang boleh dibuat adalah dengan menukar hari penjagaan agar si suami tidak perlu menjaga anak ketika hari Jumaat. Zulkifli turut mencadangkan, jika ada rezeki yang lebih, upahlah pengasuh bagi memudahkan urusan diri dan isteri agar tidak berlaku ketidaksefahaman dan seumpamanya. Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ juga menjawab mengenai perkara tersebut ketika ditanya mengenai perkara sama. Katanya, hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu. Tetapi jika wujud uzur syarak, keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya. Mereka ini disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Jelasnya uzur syarak yang dimaksudkan adalah seperti individu bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya. Namun, ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zohor, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardu yang lain. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188) Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube