suria

Tak perlu bangga encik tunang rajin hantar pergi kerja, ambil tahu hukum... Paling bahaya jika hanya berdua, takut ada yang ‘ketiga’

Umat Islam perlu menjaga batas pergaulan agar tidak menimbulkan fitnah. -Gambar hiasan

BAGI masyarakat Melayu yang mengutamakan adat, upacara merisik dan bertunang akan dilakukan selepas anak-anak menyuarakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Ia juga sebagai langkah mula bagi menghubungkan dua buah keluarga.

Namun sejak kebelakangan ini pasangan yang bertunang dilihat begitu terbuka untuk melakukan aktiviti bersama-sama termasuk menghantar dan mengambil daripada tempat kerja sehingga menimbulkan kekeliruan tentang status hubungan.

Mengulas mengenai situasi yang seperti sudah dinormalisasikan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, status pertunangan bukanlah ikatan suci seperti ijab dan kabul.

Berdua-duaan dalam kenderaan menjadi perkara biasa bagi pasangan bercinta. -Gambar hiasan

Berdua-duaan dalam kenderaan menjadi perkara biasa bagi pasangan bercinta. -Gambar hiasan

Beliau memetik firman Allah dalam surah Surah al-Ahzab: 32-33, yang bermaksud “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa.

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).

Sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

Menjelaskannya secara lebih terperinci, beliau berkata, adalah tidak halal bagi seseorang untuk keluar dengan tunangnya tanpa ditemani oleh mahram.

Ujarnya, seruan itu bertujuan mengelakkan sebarang fitnah yang timbul dan bagi menjaga maruah dan kehormatan sebagai seorang Muslim.

Sebagaimana menurut Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya.

Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu”. Riwayat al-Bukhari (5233); Muslim (1341)

Hanya ikatan perkahwinan yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita.

Hanya ikatan perkahwinan yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita.

Tambah Zulkifli, antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain.

Ia berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan.

"Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka.

"Justeru dalam isu ini, kami katakan ikatan pertunangan hanyalah ikatan janji ke arah mendirikan perkahwinan dan bukanlah satu ikatan yang menghalalkan perkara yang ditegah oleh syarak," tegasnya.

Oleh yang demikian, status pertunangan sama sahaja seperti lelaki atau perempuan ajnabi yang lain dalam menjaga had batasan pergaulan seperti tidak boleh bersentuhan, mendedahkan aurat dan berdua-duaan.

Sekiranya ada keperluan untuk keluar dengan tunang disebabkan ada urusan-urusan yang penting, maka hendaklah ditemani mahramnya seperti ahli keluarga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain