suria

Anak benci bapa kandung, pernah jadi mangsa rogol... Perlukah terus taat dan menghormati?

Anak-anak berhak membenci ibu dan ayah yang tidak mendidik mereka dengan baik. -Gambar hiasan

DALAM situasi tertentu anak akan berasa tersisih dan tidak disayangi oleh ibu bapa mereka.

Malah ada yang berkecil hati sehingga sanggup mengabaikan mereka sekali gus tidak mentaati kedua-duanya.

Seperti yang dialami wanita ini, dia mengakui berasa benci terhadap bapa kandung yang pernah merogol dirinya semasa kecil.

Bukan itu saja, lelaki itu juga enggan menjadi wali untuk majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan.

Perasaan yang dialaminya itu membuatkan dia khuatir sama ada ia termasuk dalam hukum menderhakai orang tua atau sebaliknya.

Ciapan yang dibuat oleh seorang pelayar X baru-baru ini.

Ciapan yang dibuat oleh seorang pelayar X baru-baru ini.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, perbuatan seorang bapa yang menodai dan sanggup merogol anak sendiri, tergolong dalam dosa besar.

"Asasnya ayah atau ibu yang melakukan apa sahaja kepada anak-anaknya... status mereka sebagai ayah atau ibu tidaklah gugur.

"Namun bagi seorang bapa yang melakukan perbuatan durjana dengan menodai anak sendiri, ia adalah perbuatan dosa besar yang tidak akan terhapus kecuali dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat serta dimaafkan oleh anaknya itu.

"Dalam masa yang sama tetap wajib dikenakan hukuman terhadap bapa seperti itu," ulasnya.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun perbuatan seorang bapa tersebut adalah salah dan perlu dihukum, namun anak tetap wajib untuk menghormatinya.

Mangsa rogol cenderung mengalami trauma. -Gambar hiasan The Star

Mangsa rogol cenderung mengalami trauma. -Gambar hiasan The Star

"Adakah gugur rasa hormat anak terhadap bapa seperti itu? Tetap wajib seorang anak menghormati ayahnya walaupun mungkin rasa sayang itu sudah hilang disebabkan pengalaman ngeri yang berlaku.

"Namun ingatlah setiap apa yang berlaku itu ada pengajarannya sendiri sama ada dapat diketahui mahupun tidak," ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, anak-anak juga berhak untuk membenci kedua-dua orang tua yang tidak mendidik mereka dengan baik.

Tambahnya, perlu diinsafi bahawa Islam telah mendidik dan mengajar umatnya agar kebencian kepada seseorang itu disadur dengan kasih sayang iaitu benci pada perbuatan-perbuatan mungkar yang dilakukan tetapi tidak kepada diri seseorang individu itu sendiri.

"Pintu taubat sentiasa terbuka dan Allah Maha Pengampun walaupun mungkin manusia tidak mampu menerima takdir seumpama itu... bak kata pepatah 'berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain