PEKERJAAN merupakan salah satu ibadah yang perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bertanggungjawab. Namun sejak kebelakangan ini, warga maya sering mempertikaikan kerjaya sesetengah individu dan mengaitkannya dengan dosa dan pahala. Tidak kurang juga yang terus menunding jari seolah-olah sesuatu pekerjaan itu tidak patut dilakukan kerana akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke neraka. Ciapan yang dibuat seorang pelayar X baru-baru ini. Mengulas tentang 'budaya' menghukum seseorang dengan kafir dan neraka, Mufti Perlis Prof Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, umat Islam hendaklah berada atas Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang mengamalkan pendekatan sederhana dan penuh kesantunan serta insaf dalam menilai pihak yang lain. "Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun neraka. "Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar," jelas beliau. Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul. Surah Al-Israk, 15 Jelas Mohd Asri lagi, Nabi SAW mengajar umatnya supaya berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Bahkan dalam hadis, Nabi SAW melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Umat Islam perlu sentiasa berpegang pada sunnah Rasulullah. -Gambar hiasan The Star Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza yang mana kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia tidak mempunyai nilai baik yang lain. Mungkin seseorang itu lemah pada satu nilai, tetapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat. Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup. Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut dalam Surah al-Israk ayat 15 yang bermaksud: "Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul”. Mengulas lanjut, Mohd Asri berjata al-Imam Ghazali juga pernah menyatakan, sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang jelas tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi pada zaman ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube