suria

Mana lebih afdal, solat sunat lepas nikah di masjid atau dalam bilik? Kena ambil kira soal aurat isteri

Kebanyakan lelaki melakukan solat sunat selepas akad nikah. -Gambar hiasan The Star

PERKAHWINAN merupakan penyatuan dua jiwa yang saling mencintai.

Bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas ikatan yang terjalin, kebanyakan lelaki mengambil peluang untuk menunaikan solat sunat selepas akad nikah dilafazkan.

Bagaimanapun terdapat sebilangan individu yang beranggapan solat sunat selepas nikah dilakukan ketika pasangan mempelai saling bertemu di dalam bilik.

Ia bertujuan untuk menjaga aurat pengantin perempuan yang menjadi makmum.

Perkahwinan merupakan ikatan halal antara lelaki dan wanita. -Gambar hiasan

Perkahwinan merupakan ikatan halal antara lelaki dan wanita. -Gambar hiasan

Menjawab pertikaian tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah Al Bakri berkata, sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan fitrahnya untuk berpasangan.

Maka syariat menganjurkan supaya manusia itu berkahwin dengan tujuan untuk meraikan fitrah manusiawi.

Setiap perbuatan perlu berlandaskan dengan adab dan tatasusila supaya kehidupan lebih diberkati dan harmoni, begitulah yang dianjurkan selepas pernikahan.

“Terdapat beberapa adab yang boleh dilakukan oleh pengantin yang baru melangsungkan pernikahan.

“Antaranya adalah disunatkan bagi suami untuk mendoakan isteri yang baru dinikahi dengan doa sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri,” ujarnya.

Doa yang boleh dilafazkan ini bermaksud “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.”

Riwayat Abu Dawud (2160), Ibn Majah (2252) dan al-Nasa’ie (10069)

Pasangan berkahwin dianjurkan solat berjemaah. -Gambar hiasan The Star

Pasangan berkahwin dianjurkan solat berjemaah. -Gambar hiasan The Star

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Apabila seseorang kamu berkahwin dengan seorang perempuan atau memiliki seorang khadam atau mendapat seekor haiwan yang menjadi tunggangan, maka hendaklah kamu pegang pada ubunnya seraya berdoa: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (1918) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14211)

Terdapat beberapa athar daripada perbuatan Sahabat yang menunjukkan kepada perbuatan solat sunat selepas akad nikah.

Namun yang dimaksudkan di sini bukanlah dilakukan secara langsung selepas akad nikah, tetapi dilakukan ketika mana mendatangi dan menemui si isteri di dalam bilik.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat menerakakan orang ikut pekerjaan... Mufti tegur hati-hati tuduh kafir ataupun musuh Allah

Solat ini dilakukan bersama-sama yang mana si isteri menjadi makmumnya.

Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya iaitu seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku.

“Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan.

“Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat di belakangmu dua rakaat.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (17156)

Ia adalah solat yang dilakukan di dalam bilik ketika si suami memasuki untuk bertemu, mendatangi si isteri.

DATUK SERI DR ZULKIFLI AL-BAKRI

Abdullah Ibn Mas`ud juga mengajarkan doa yang bermaksud “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku.

“Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku.

“Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq (10460)

Pengantin perempuan perlu menjaga auratnya. -Gambar hiasan The Star

Pengantin perempuan perlu menjaga auratnya. -Gambar hiasan The Star

Berdasarkan athar yang dinyatakan itu, sebahagian ulama mengatakan bahawa hukum solat sunat selepas nikah itu dibolehkan berdasarkan perbuatan para salaf.

Selain itu, melihat kepada nas athar di atas juga, ia adalah solat yang dilakukan di dalam bilik ketika si suami memasuki untuk bertemu, mendatangi si isteri dan bukannya dilakukan secara terbuka sejurus selepas nikah, hal ini juga agar terjaga aurat isteri.

Meskipun begitu, sekiranya tidak dilakukan, ia juga dibolehkan.

Sebahagian ulama menggalakkan pelakuan solat sunat selepas nikah kerana hal ini amat baik dalam memukadimahkan pembinaan rumah tangga agar menjadi ‘Baiti Jannati’ (rumahku syurgaku).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain