suria

Dilema undangan ‘open house’, nak terus puasa enam atau hormat tuan rumah? Ketahui hukum jika sengaja batalkan

Majlis rumah terbuka sudah menjadi tradisi setiap kali tibanya Syawal. -Gambar hiasan

MAJLIS rumah terbuka sudah menjadi tradisi bagi masyarakat di negara ini setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Dalam masa sama kita juga mahu merebut keberkatan bulan Syawal ini dengan menyempurnakan puasa sunat selama enam hari.

Seperti yang dihadapi seorang individu, dia berada dalam dilema sama ada mahu memenuhi jemputan sahabat baik untuk ke jamuan rumah terbuka atau teruskan puasa putih pada hari ke 15 Syawal.

Untuk makluman, puasa hari putih merupakan puasa sunat yang boleh dijalankan setiap bulan pada hari ke 13, 14, dan 15 bulan Islam kecuali pada 13 Dzulhijjah kerana tarikh itu sebahagian daripada Hari Tasyriq.

Kebuntuan yang dialami individu tersebut dijawab oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad menerusi portal Maktabah al-Bakri.

Jelas Zulkifli, sebagaimana disarankan oleh Rasulullah SAW, kita digalakkan berpuasa pada hari-hari putih.

Daripada Qatadah bin Milhan RA yang bermaksud:

Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” - Riwayat Abu Daud (2449)

Rumah terbuka disambut meriah setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri.

Pada asasnya, sekiranya seseorang yang melakukan puasa sunat, kemudian dia berbuka dengan sengaja, maka hukumnya adalah makruh.

Namun, dia tidak diwajibkan untuk mengqada (menggantikan) puasa tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)

Bagaimanapun, terdapat dalil bahawa dibolehkan untuk membatalkan puasa sunat ialah, seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Hani’ R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Seseorang yang berpuasa sunat menjadi penentu dirinya. Jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.” -(Riwayat al-Tarmizi (32))

Bagi menjawab persoalan ditanya, Zulkifli menjelaskan bahawa individu yang berpuasa sunat itu boleh membuka puasa apabila dijemput ke sesuatu majlis jamuan.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A yang bermaksud:

“Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. (Setelah dihidangkan makanan), salah seorang daripada sahabat berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa.

"Lalu Rasulullah SAW bersabda saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu,"

Ramai memilih untuk berpuasa enam di bulan Syawal.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3/306). Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/238) menilai hadis ini sebagai dha’if. Manakala dalam hadis ini dinilai sebagai hasan dalam kitab Irwa’ al-Ghalil (1952).

Menurut pendapat ulama Syafi’i dan Hanabilah, bagi situasi seseorang yang dijemput ke majlis makan dalam keadaan seseorang itu berpuasa sunat, maka berbukalah sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah.

Hal ini kerana dibenarkan baginya untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain, malah ia juga dapat memberi kegembiraan kepada pihak tuan rumah yang menjemputnya.

Akan tetapi, jika keadaan dia terus berpuasa itu tidak memberatkan tuan rumah, maka afdal baginya untuk meneruskan puasa tersebut tanpa perlu membatalkannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/118)

Justeru, Zulkifli berpandangan bahawa seseorang itu lebih arif akan keadaan dirinya, begitu juga tuan rumah yang menjemputnya sama ada berbuka atau teruskan puasa.

Selain itu, Zulkifli turut mencadangkan supaya mereka menggabungkan puasa dengan menghadiri majlis rumah terbuka iaitu memohon tuan rumah untuk datang waktu berbuka puasa maka kita akan dapat menghimpun dua kebaikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain