FIDYAH didefinisikan sebagai sesuatu bayaran untuk menebus diri, baik dalam bentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah. Dalam konteks puasa, fidyah ialah denda ke atas seseorang beragama Islam yang baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab tertentu atau sengaja melewatkan ganti puasa (qada) Ramadan. Justeru timbul persoalan mengenai perkara yang perlu diutamakan dahulu sama ada ganti puasa atau membayar fidyah. Kekeliruan itu dileraikan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portal Maktabah Al-Bakri. Kata Zulkifli, sekiranya seseorang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan, hendaklah menggantikannya sebelum bulan puasa tahun berikutnya tiba. Namun, sekiranya sudah masuk bulan Ramadan berikutnya dan dia masih belum sempat menggantikan puasa yang tertinggal, maka perlulah individu itu membayar fidyah dan menggantikan puasa tersebut. Puasa yang ditinggalkan perlu diganti semula. -Gambar hiasan Dua hadis berikut memberi penjelasan tentang situasi berkenaan. Berdasarkan hadis daripada Abdullah Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan (perlu diganti), hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya." - Riwayat al-Tarmizi (718) dan Ibnu Majah (1757). Sementara itu berdasarkan hadis Aisyah R.Anha yang bermaksud: "Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba." - (Riwayat al-Nasai (2319) dan Ibn Majah (1669) Jelaslah menurut hadis ini bahawa perlunya menggantikan puasa Ramadan sebelum tiba bulan puasa seterusnya. Sekiranya dilambatkan puasa qada tanpa keuzuran sehingga bertemu Ramadan seterusnya, maka para ulama daripada Mazhab Syafie menyatakan bahawa wajib mengqadakan puasa dan membayar fidyah. Dalam isu ini, Zulkifli berpandangan bahawa menggantikan puasa lebih baik didahulukan daripada membayar fidyah. Fidyah perlu dibayar dengan cupak beras mengikut hari puasa yang ditinggalkan. -Foto Rahmatanlilalamin.or.id Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud: "Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya." - (Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147) Hadis ini menunjukkan bahawa waris dituntut untuk menggantikan puasa bagi pihak si mati. Difahami juga berdasarkan hadis ini menggantikan puasa itu lebih baik didahului daripada membayar fidyah. Kesimpulannya, Zulkifli menyimpulkan bahawa menggantikan puasa hendaklah diutamakan berbanding membayar fidyah tetapi sekiranya dilaksanakan secara serentak, itulah yang lebih baik. Dalam pada itu, turut dinasihatkan juga bagi sesiapa yang masih 'berhutang' puasa, gantilah ia dengan segera supaya tidak dikenakan denda. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube