suria

Umat Islam boleh guna kad kredit konvensional tapi bersyarat... Haram hukumnya kalau ‘tergelincir’

Penggunaan kad kredit semakin meningkat pada hari ini.

MEMILIKI kad kredit bukan lagi sesuatu yang asing terutama bagi mereka yang sudah mempunyai kerjaya.

Namun timbul keraguan buat sesetengah individu untuk menggunakan kad kredit konvensional kerana boleh menjurus kepada riba sekiranya gagal membuat bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Susulan itu bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri tampil menjawab isu berkaitan hukum seorang Muslim menggunakan kad kredit konvensional.

Kemusykilan tersebut dijawab oleh Zulkifli dengan berpandukan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 130 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda.

"Hendaklah kamu bertakwa (takut) kepada Allah supaya kamu berjaya."

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Pengguna bakal dikenakan caj sekiranya terlambat membuat pembayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Kata Zulkifli daripada keratan ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa sebarang urusan jual beli menggunakan kad kredit konvensional adalah dibenarkan, dengan syarat bayaran perlu dilakukan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.

Hal ini bertujuan untuk menghindari daripada dikenakan interest (faedah) kerana ia dianggap sebagai riba yang diharamkan dalam hukum syarak.

Justeru, sebagai umat Islam hendaklah menjauhi segala urus niaga yang melibatkan riba kerana telah jelas dalam nas-nas al-Quran dan hadis tentang pengharamannya.

Selain itu, dia turut nasihati pengguna kad kredit agar memantau setiap transaksi yang dilakukan supaya ia mematuhi prinsip-prinsip keadilan dalam perjanjian jual beli.

Ini termasuk ketelusan dalam kadar faedah atau yuran yang mungkin dikenakan dalam transaksi tersebut.

Malah, dalam menjalankan urusan jual beli menggunakan kad kredit, penting bagi semua individu untuk memahami peraturan agama dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Ia bertujuan bagi memastikan transaksi tersebut berada dalam batasan yang dibenarkan oleh Islam.

Bagaimanapun, Zulkifli menyarankan kepada umat Islam yang menggunakan kad kredit agar bertukar kepada kad kredit Islamik bagi menghindari daripada terjebak dengan riba.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain