suria

Amalan merenjis ‘air tawar’ pada kereta bukan syariat Islam, boleh undang fitnah!

Tangkap layar amalan 'air tawar' yang dikongsikan di TikTok.

TULAR rakaman video beberapa individu yang berjubah putih dan berkopiah sedang merenjis air pada bahagian hadapan sebuah kenderaan.

Pemakaian yang sinonim dengan golongan alim ulamak itu menyebabkan masyarakat mempersoalkan hukum melakukan amalan atau ritual berkenaan.

Perkongsian tersebut menyebabkan ia dibahas di media sosial.

Tampil menjelaskan situasi tersebut, salah seorang individu yang terlibat dalam pengurusan amalan berkenaan berkata, tindakan tersebut adalah salah satu ikhtiar dalam perubatan Islam yang dikenali sebagai ‘air tawar’.

“Dalam bahasa rawatan Islam, kami panggil ni air tawar. Cara ni antara ikhtiar untuk ‘membatalkan’ kes khianat seperti manusia mencalit minyak pengasih atau meletak perkara berunsur sihir dan sebagainya (pada kenderaan) yang terlepas daripada pengetahuan serta pemerhatian kita.

“Ia cuma ikhtiar untuk mengelakkan perkara yang boleh memudaratkan seseorang. Tidaklah ia menggunakan jampi serapah perantara jin dan syaitan,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Kecuaian pemandu punca kemalangan berlaku. -Gambar hiasan

Malang tidak berbau. -Gambar hiasan

Lelaki terbabit turut menegaskan bahawa mereka hanya menggunakan ayat suci al-Quran, zikir, doa serta amalan orang soleh dalam melakukan rawatan berkaitan.

“Pada iktiqadnya, tetap saja seorang mukmin itu berpegang dengan utuh bahawa hanya Allah SWT yang memberi bekas dan kesan atas setiap perkara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi laman sesawang rasminya turut memperincikan hukum melakukan amalan ‘air tawar’ tersebut.

Menurutnya, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan, hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap masyarakat Islam.

Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. (al-Baqarah: 156)

Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram atau merenjis air ke kereta. sebaliknya mengamalkan bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.

Jika orang Islam sendiri percaya amalan tersebut, tiada bezanya dengan kaum lain.

Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (az-Zukhruf: 12 – 14).

Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain