NABI SAW bersabda yang bermaksud “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.” Hadis Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477) Maka tidak hairanlah apabila ramai umat Islam berlumba-lumba untuk menunaikan solat secara berjemaah meskipun di surau kecil seperti di pejabat atau stesen minyak. Jika solat berjemaah dilakukan di masjid dan selepas laungan azan berkumandang, semestinya terdapat imam yang akan mengetuai solat. Namun apabila ia dilakukan di surau kecil dan bukan pada awal waktu, maka tiada imam yang akan mengetuai solat fardu tersebut. Bagaimanapun, anda masih boleh bersolat jemaah dengan melakukan beberapa kaedah ini meskipun hanya dengan seorang makmum. Ikuti perkongsian daripada Masjid Bandar Seri Putra Official. 1. Tak perlu cuit atau tepuk bahu seseorang yang sedang menunaikan solat jika mahu menjadi makmumnya. 2. Berdiri di sebelah individu tersebut dan niat di dalam hati nak ikutnya sebagai makmum. 3. Kuatkan sedikit suara semasa takbiratul ihram. 4. Tiada masalah jika individu tersebut tidak perasan atau berniat menjadi imam, anda masih dapat fadilat solat berjemaah kerana sudah berniat untuk menjadi makmum. 5. Jangan khuatir sekiranya individu tersebut melakukan solat sunat, tetapi anda melakukan solat fardu kerana solat yang dilakukan itu tetap sah. Contohnya semasa Ramadan, anda terlewat ke masjid dan jemaah sudah memulakan solat tarawih, anda boleh sertai jemaah untuk solat isyak dan tambah rakaat untuk cukupkan solat fardu anda. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube