suria

Terkejar-kejar solat sebelum habis waktu... Boleh ke mula baca al-Fatihah ketika bangun daripada sujud sebelum berdiri tegak?

Solat merupakan tiang agama. -Gambar hiasan

KESIBUKAN kerja sering dijadikan alasan sesetengah daripada kita tergesa-gesa menunaikan solat fardu sebelum waktu yang disyariatkan habis.

Situasi yang sering dilihat berlaku ialah terdapat individu yang mula membaca bismillah ketika sedang bangun daripada sujud sebelum dia sempat berdiri tegak atau qiam.

Kemudian dia memulakan bacaan surah al-Fatihah selepas berdiri tegak dan meletakkan tangan antara dada dan pusat.

Persoalan yang timbul adakah solat dalam keadaan begitu dianggap sah?

Bagi menjelas situasi yang sering berlaku semasa rakaat kedua dan seterusnya itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi beberapa pandangan ulama mengenainya.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.” Riwayat Ibnu Majah (828)

Qiam perlu dilakukan dengan tertib.

Qiam perlu dilakukan dengan tertib.

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain daripada bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran.

Ia juga wajib dibaca pada semua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat.

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafi’i. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’, 3/288)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa berdiri tegak dalam solat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun solat.

Barangsiapa yang tidak berdiri tegak dalam solat maka solatnya tidak sah melainkan terdapat keuzuran. Hal ini sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” Riwayat al-Bukhari (1066)

Dalam isu ini kami kata sesiapa yang membaca al-Fatihah sebelum berdiri dengan sempurna selepas bangun daripada sujud dalam keadaan di mana dia mampu untuk berdiri tegak, maka solatnya dikira tidak sah.

Ini kerana dia telah mendahului rukun membaca al-Fatihah daripada rukun berdiri tegak dalam solat.

Ramai gemar melakukan solat jemaah.

Ramai gemar melakukan solat jemaah.

Solat yang dilakukan tidak mengikut tertib adalah tidak sah dan perlu diulangi semula melainkan terdapat masalah dan keuzuran padanya.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa urutan rukun solat diikuti dengan betul bagi mengelakkan solat menjadi tidak sah.

Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak. Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذر) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/129-130)

Syeikh Ibn Baz dalam isu ini juga menyatakan bahawa: Tidak dibenarkan bagi makmum yang mampu berdiri untuk membaca al-Fatihah ketika dia duduk, ataupun ketika dia sedang mahu berdiri.

Sebaliknya dia wajib menangguhkan bacaannya sehingga dia berdiri dengan sempurna. (Lihat Fatawa Syeikh Ibn Baz, 11/229)

Justeru kami katakan sesiapa yang memulakan bacaan al-Fatihah sebelum berdiri dengan sempurna pada rakaat yang kedua atau seterusnya, maka tidak sah solat yang didirikannya.

Ini kerana dia telah mendahului rukun daripada tempat yang sepatutnya.

Oleh yang demikian hendaklah bagi sesiapa yang mendirikan solat memastikan setiap gerak geri di dalamnya dilakukan dengan sempurna agar solat yang didirkaanya itu tidak terbatal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain