suria

Anak niat baik, sedekahkan hasil sewa rumah pusaka tanpa persetujuan waris lain... Ini penjelasan ustaz

Hasil sewa rumah pusaka perlu difaraidkan kepada waris yang layak. -Gambar hiasan

SETIAP anak memiliki cara tersendiri untuk membalas jasa kedua-dua orang tua sama ada mereka masih hidup mahupun telah meninggal dunia.

Begitulah yang dilakukan seorang lelaki apabila dia bersedekah duit hasil sewaan rumah pusaka kepada sebuah masjid supaya dapat mengalirkan pahala untuk arwah bapanya.

Bagaimanapun, tindakannya itu dilakukan tanpa pengetahuan mahupun persetujuan daripada waris harta pusaka yang lain.

Susulan itu terdapat pertikaian tentang hukum dan amalan sedekah yang dilakukan tersebut sama ada memanfaatkan si mati atau sebaliknya.

Menjawab persoalan berkenaan, laman Facebook Ustaz Lariba menyatakan tindakan waris tersebut dikategorikan sebagai makan harta pusaka secara batil.

“Semua hasil daripada harta pusaka yang belum difaraid iaitu setelah ditolak kos-kos berkaitan seperti bil elektrik, air dan penyelenggaraan adalah harta pusaka.

“Oleh itu ia wajib difaraid melainkan mendapat persetujuan kesemua waris untuk diguna bagi tujuan lain, termasuk bersedekah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sedekah yang betul ialah menggunakan harta milik sendiri dan bukanlah daripada harta orang lain.

Harta peninggalan si mati perlu difaraidkan kepada waris. -Gambar hiasan

Harta peninggalan si mati perlu difaraidkan kepada waris. -Gambar hiasan

“Oleh itu, jika hasil harta pusaka digunakan untuk tujuan yang tidak mendapat kebenaran semua waris adalah dilarang, walaupun untuk tujuan yang baik.

“Jika ada waris yang melakukan perkara seperti tersebut, maka dia telah berhutang dengan waris-waris lain dan wajib menggantikannya.

“Untuk elak perkara seperti ini berlaku lagi, jika harta pusaka masih dalam proses untuk difaraid, lantiklah di kalangan waris seorang pentadbir untuk mentadbir semua harta pusaka,” tambahnya.

Dalam pada itu, perkara sama turut dijelaskan menerusi laman sesawang Jabatan Mufti Terengganu yang mana semua harta atau benda yang dimiliki oleh si mati semasa hidup menjadi harta pusaka kepada pewarisnya yang masih ada sama ada harta tersebut diperoleh secara langsung atau tidak.

Pewaris seperti ibu, ayah, isteri atau anak-anak si mati berhak mewarisi kesemua harta peninggalan si mati mengikut pembahagian yang telah ditetapkan.

Sekiranya barang tersebut mempunyai nilai dan berharga perlulah diisytiharkan kepada semua waris yang berhak untuk dinilai semula.

Namun, jika barang tersebut tidak mempunyai nilai dan hanya boleh dipakai untuk kegunaan harian maka bolehlah sekiranya ada di antara ahli waris yang mahu menyimpan atau menggunakan barang tersebut tanpa dinilai atau di bahagikan secara faraid dengan syarat mendapat keizinan ahli waris.

Oleh itu, barang seperti perkakas dapur, pinggan mangkuk, periuk dan lain-lain yang tidak mempunyai nilai boleh dimliliki dengan hanya meminta izin daripada ahli waris yang lain atau diletakkan untuk kegunaan bersama di kalangan ahli waris.

Faktor utama dalam pembahagian seperti ini adalah bertolak ansur dan ada sifat tanggungjawab dalam memastikan tidak ada unsur kepentingan peribadi dan tidak tamakkan diri sendiri sehingga semua perkara perlu diperincikan mengikut pembahagian secara faraid.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain