PELANGGAN yang mendapatkan khidmat mekanik untuk pertukaran minyak enjin cenderung membiarkan sahaja baki minyak di bengkel. Senario tersebut menyebabkan berlaku lambakan minyak enjin di bengkel-bengkel kenderaan. Bagi sesetengah mekanik, lebihan minyak pelanggan akan dikumpul dan digunakan pada kenderaan persendirian mereka bagi mengelakkan pembaziran. Susulan itu, timbul persoalan sama ada penggunaan lebihan tersebut adalah dibenarkan dari segi syarak atau haram kerana dianggap mengambil 'hak' individu lain. Bagi menjawab keraguan berkenaan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi pandangan daripada para jumhur ulama. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah, ayat ke 188 bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” Pelanggan lebih gemar mendapatkan khidmat mekanik di bengkel kenderaan. Berdasarkan petikan ayat tersebut, boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Hak setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” Riwayat Muslim (2564) Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang Muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara Muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137) Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya. Menjawab keraguan para mekanik, kami berpendapat bahawa tidaklah menjadi satu kesalahan jika mengambil lebihan minyak yang ditinggalkan oleh pelanggan. Ini disebabkan minyak tersebut ditinggalkan dan secara umumnya boleh dianggap sebagai barang yang dikeluarkan oleh pemiliknya. Selain itu, tindakan ini juga membantu mengelakkan pembaziran minyak yang mungkin berlaku jika ia dibuang begitu sahaja. Oleh itu, para mekanik dibenarkan untuk memanfaatkan minyak tersebut. Bengkel kenderaan menyimpan lebihan minyak enjin. Yang demikian juga sebagaimana uruf dan adat setempat di mana sesuatu yang berbaki yang ditinggalkan oleh pembeli boleh diambil dan dimanfaatkannya. Hal ini sebagai kaedah menyebut "adat itu boleh dijadikan hukum" (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/388) Jika tiada nas yang menyalahinya pada asal atau ada tetapi bersifat umum, maka adat tersebut boleh dijelaskan mengikut penerangannya. Asal kaedah ini ialah ucapan Ibn Mas’ud yang bermaksud: “Apa yang orang Islam melihat kebaikan maka ia dianggap baik di sisi Allah dan apa yang mereka lihat keburukan maka ia dianggap buruk di sisi Allah.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3602) Al-Sarakhsi berkata: “Prinsip ini adalah ma’ruf (diketahui ramai), dan apa yang dikenali oleh orang ramai dan tidak ada nas yang membatalkannya, maka ia adalah harus.” (Lihat al-Mabsut, 12/45) Di sini dinyatakan bahawa uruf balad (setempat atau negeri tertentu) juga boleh diambil kira sebagai perundangan yang sewajarnya diterima pakai. (Lihat Kalimah Allah Isu dan Penyelesaiannya, hlm.48-50) Sebagai kesimpulannya, isu ini bergantung pada adat dan uruf setempat. Menurut adat di tempat kita, sisa-sisa yang sedikit yang ditinggalkan oleh pelanggan boleh diambil dan dimanfaatkan. Namun, lebih baik untuk memohon izin terlebih dahulu dari pelanggan sebelum mengambilnya. Tindakan ini tidak hanya memberikan ketenangan tetapi juga menenangkan jiwa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube