suria

Emas wajib dizakat jika lebih 85g, bagaimana pula jika digadai? Ini penjelasan mufti

Barang kemas merupakan aset mudah cair. -Foto TikTok Emas Faiz

EMAS merupakan logam berharga yang sinonim dengan golongan wanita.

Namun sejak kebelakangan ini, lelaki juga gemar menyimpan emas dan menjadikannya sebagai pelaburan yang menguntungkan.

Tambahan pula, ia merupakan aset mudah cair yang boleh digadaikan bila-bila masa apabila seseorang itu berdepan masalah kewangan.

Nisab zakat emas adalah 20 mithqal atau bersamaan 85 gram.

Disebabkan ia sering dijadikan pelaburan dan digadai untuk mendapatkan wang tunai, ramai yang tertanya-tanya sama ada emas yang berada dalam pajak gadai perlu dizakat atau tidak.

Menjawab persoalan semasa yang sering menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, laman web mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan tentang kewajipan zakat emas bagi penggadai.

Zakat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan kewajipan menunaikannya adalah untuk memenuhi hak bagi golongan asnaf yang memerlukan.

Emas baru atau lama tetap mempunyai nilai yang tinggi mengikut kadar semasa. -Foto TikTok EmasFaiz

Emas baharu atau lama tetap mempunyai nilai yang tinggi mengikut kadar semasa. -Foto TikTok Emas Faiz

Hal ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang menyeluruh termasuk dalam membantu dan melindungi umat manusia.

Bahkan Allah SWT menjadikan zakat sebagai pembersih dosa dan menyucikan diri daripada keburukan akhlak.

Firman Allah SWT bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Taubah, 103)

Berbalik kepada persoalan di atas, cagaran atau gadaian menurut bahasa Arab disebut sebagai al-Rahnu.

Menurut istilah fiqh, al-Rahnu adalah meletakkan sesuatu barang berharga sebagai jaminan hutang.

Konsep ini dijelaskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bermaksud: Menjadikan sesuatu yang berbentuk harta sebagai perjanjian (jaminan) hutang bagi melangsaikannya atau daripada nilainya apabila berlaku kesukaran untuk menjelaskannya.

Nabi SAW juga pernah melakukan cagaran baju besinya kepada seorang Yahudi dan ini menunjukkan tentang keharusan untuk melakukannya. Perkara ini diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW pernah membeli makanan secara tangguh daripada seorang Yahudi dengan mencagar baju besinya. Riwayat al-Bukhari (2509)

Zakat emas dan perak wajib dikeluarkan oleh setiap individu muslim yang merdeka apabila memilikinya dengan pemilikan yang sempurna, mencapai nisab dan mencukupi tempoh seperti yang telah ditetapkan syarak.

Golongan lelaki gemar menjadikan emas sebagai pelaburan. -Foto TikTok Emas Faiz

Golongan lelaki gemar menjadikan emas sebagai pelaburan. -Foto TikTok Emas Faiz

Begitu juga dalam permasalahan cagaran emas atau perak, pencagar wajib mengeluarkan zakat apabila sudah memenuhi syarat-syaratnya.

Ini kerana emas dan perak yang dicagarnya itu masih lagi hak milik sempurna bagi pencagarnya.

Imam al-Nawawi menyebut tentang perkara ini di dalam kitabnya: Sekiranya seseorang itu mencagar haiwan ternakan atau sesuatu harta zakat yang selainnya, apabila cukup haul maka terdapat dua jalan periwayatan di dalam mazhab, menurut pandangan jumhur ulama, wajib dikeluarkan zakat atas sebab pemilikan sempurna.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyatakan di dalam karyanya, al-Rahnu atau cagaran hanya berlaku dalam transaksi hutang. Oleh itu, dalam mazhab al-Syafi’i hutang tidak menghalang kewajipan mengeluarkan zakat.

Oleh itu berdasarkan kepada perbincangan di atas, emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain