suria

Ramai masih keliru rukhsah solat jamak dan qasar... Ini penjelasan paling mudah faham, cara nak kira hari pun ada

Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi tampil memberi penerangan yang tuntas mengenai solat jamak dan qasar.

SOLAT itu tiang agama.

Justeru dalam apa situasi atau di mana sekali pun, ia wajib ditunaikan melainkan bagi golongan yang tidak diwajibkan solat ke atas mereka.

Begitu juga ketika seseorang sedang bermusafir, solat tetap wajib didirikan biarpun ada yang mengambil remeh memandangkan timbulnya beberapa kekangan seperti tiada tempat selesa untuk mengerjakan solat seperti surau atau masjid.

Bagi mereka yang bermusafir, Islam memberi kemudahan atau rukhsah dalam menunaikan rukun yang kedua ini, iaitu solat jamak dan qasar.

Antara syaratnya adalah seseorang bermusafir dengan jarak melebihi dua marhalah atau 81 kilometer (km) dan lebih, dan perjalanannya tidak bertujuan maksiat.

P 1

Solat wajib ditunaikan walau dalam apa situasi sekali pun. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, segelintir daripada kita masih kurang arif mengenai cara yang betul untuk menunaikan solat jamak dan qasar ini.

Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi tampil memberi penerangan yang tuntas agar tiada lagi salah faham atau kekeliruan ketika bermusafir.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa nak buat jika imam Subuh baca surah panjang? Pendakwah beri penjelasan untuk makmum kelam-kabut nak pergi kerja

"Ada kekeliruan tentang jamak dan qasar. Banyak kali saya jumpa orang, mereka kata kami duduk sini empat hari, lima hari. Jadi boleh buat solat jamak qasar tiga hari saja, lepas itu solat macam biasa.

"Itu di antara salah faham dalam masyarakat mengenai jamak dan qasar.

"Sebenarnya begini. Yang pertama, permusafiran itu mesti lebih dua marhalah. Yang kedua, kita duduk di tempat permusafiran tak lebih daripada tiga hari. Kalau lebih, maka dia tak boleh lagi jamak qasar," terangnya.

Ustaz Jafri turut memberi dua situasi agar masyarakat Islam dapat memahami rukhsah ini dengan mudah.

SOLAT 2

Salah satu contoh kemudahan ruang solat di sebuah lokasi di luar negara. -Gambar hiasan

"Contohnya kita pergi lima hari. Hari pertama dikira hari perjalanan. Hari kedua (di tempat permusafiran) adalah hari pertama, hari ketiga dikira hari kedua, hari keempat dikira hari yang ketiga, dan hari kelima dikira hari perjalanan pulang.

"Tolak hari perjalanan pergi dan balik, maka dia duduk di sana tiga hari. Maka kalau demikian keadaannya, keseluruhannya itu dibolehkan jamak dan qasar.

"Sebaliknya kalau dia pergi tujuh hari... hari pertama perjalanan pergi, hari ketujuh hari perjalanan balik. Dekat sana dia ada lima hari.

"Keadaan sebegini, sepanjang waktu itu dia tak boleh jamak dan qasar, kecuali pada hari perjalanan pergi dan balik sahaja. Ini kerana dia duduk di sana lebih daripada tiga hari.

"Saya harap boleh faham, supaya tiada salah faham lagi," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain