PERBUATAN menziarahi kubur merupakan amalan yang disyariatkan dalam Islam. Hal ini kerana dengan menziarahi kubur ia akan mengingatkan seseorang kepada hakikat kematian. Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat". [Riwayat al-Nasa’ie (2034) dan Ibn Majah (1569)] Sebagai seorang Islam, kita juga dituntut untuk menjaga adab ketika menziarahi kubur. Rasulullah SAW sendiri mengajar kita melakukan adab-adab seperti mengucapkan salam, membaca doa untuk ahli kubur, tidak duduk di atas kubur, tidak memuja kubur, dan menjadikan kubur sebagai tempat untuk mengingati akhirat. ARTIKEL BERKAITAN: Buatlah persediaan ‘masuk kubur’ dengan amalan sedekah jariah Bagaimanapun, ada segelintir daripada kita mungkin terlepas pandang mengenai amalan yang satu ini iaitu mencium batu nisan pada kubur. Apakah amalan ini dibolehkan, serta apakah hukumnya di dalam Islam? Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam tulisannya di bukudrzulkifli.com, amalan mencium batu nisan merupakan amalan mungkar yang perlu dijauhi ketika menziarahi kubur. Salah satu amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah membaca doa untuk ahli kubur. -Gambar hiasan "Perkara tersebut dilarang kerana ia merupakan satu bentuk berlebih-lebihan dalam ritual menziarahi kubur. "Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw (melampaui batas) mereka dalam beragama" [Riwayat Ibn Hibban (3871)] "Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu' bahawa Abu al-Hasan menyatakan: "Memegang kubur dan menciumnya, sebagaimana yang dilakukan orang awam sekarang, termasuk dalam bidaah yang tercela secara syarak". "Begitu Imam al-Ghazali menyatakan bahawa: "Tidak termasuk dalam sunah perbuatan menyentuh atau mencium dinding kubur, kerana menyentuh dan mencium kubur adalah adat perbuatan orang Nasrani dan Yahudi". Justeru sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk kita tidak mengikuti amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Islam. "Kami ingin menasihati kepada sesiapa yang ingin menziarahi kubur agar melaksanakan amalan sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah, iaitu dengan memberi salam kepada ahli kubur, memohon keampunan, dan rahmat bagi mereka," tulisnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube