DALAM era media sosial ketika ini, kita sewajarnya lebih hati-hati dengan setiap perkongsian yang dibuat kerana dibimbangi boleh mengundang penyakit ain. Mungkin ramai yang memandang ringan akan penyakit yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini, sehinggalah akhirnya terkena batang hidung sendiri. Sebenarnya, Rasulullah SAW sendiri sudah memberi peringatan mengenai penyakit ain menerusi hadis baginda. ARTIKEL BERKAITAN: Amalan berwuduk antara 6 langkah dapat elak penyakit sumpahan mata akibat pujian manusia Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Penyakit Ain itu haq (benar-benar wujud). Jika ada sesuatu yang mendahului takdir, nescaya ‘ain akan mendahuluinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah." [Riwayat Muslim (5831)] Justeru, kita dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan mengelakkan beberapa perkara yang boleh mengundang penyakit ain. Dalam satu hantaran di Facebook, seorang pendakwah bebas yang juga pakar motivasi, Ustazah Marhamah Rosli berkongsi lima peringatan agar tidak terkena 'tempias' penyakit ain: 1) Menunjuk bahagia secara berlebihan Contohnya setiap hadiah daripada pasangan, percutian mewah, atau pencapaian kecil dikongsi tanpa fikir panjang. Kita lupa, tidak semua yang melihat itu mampu menerima kebahagiaan kita dengan hati yang lapang. Ada yang sedang diuji dengan pasangan bermasalah, ada yang sedang berjuang melawan kesusahan. Tidak semua orang gembira melihat perkongsian kebahagiaan insan lain. -Gambar hiasan 2) Kongsi kejayaan tanpa hikmah Contohnya mempamerkan slip gaji, pencapaian anak, kejayaan bisnes dan sebagainya. Niat asal kita hanyalah mahu meraikan kejayaan atau memberi inspirasi. Tetapi tanpa disertakan hikmah dan pengajaran, perkongsian itu boleh mengundang iri hati orang lain atau menjadi ujian kepada kita sendiri. 3) Pamerkan kecantikan atau fizikal berlebihan Dalam dunia media sosial, selfie dengan solekan yang indah memukau pandangan, gambar tubuh langsing selepas bersenam, atau gaya hidup glamor sering menjadi trend. Kita fikir kecantikan itu hak kita, tetapi ramai lupa bahawa pandangan mata yang kagum tanpa doa keberkatan boleh membawa mudarat besar. 4) Mengabaikan zikir dan doa perlindungan Zikir ini adalah perisai yang Rasulullah SAW ajarkan untuk hindarkan kita daripada penyakit ain dan bahaya lain. Tapi kita selalu beralasan sibuk bekerja. Jangan tunggu musibah jadi baru mahu kembali kepada Allah. 5) Tidak menjaga privasi nikmat yang Allah beri Nikmat itu pinjaman daripada Allah. Jika kita tidak menjaganya dengan kesyukuran dan privasi, ia boleh menjadi risiko nikmat-nikmat ini hilang dalam sekelip mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube