suria

Presiden yoga jumpa Firdaus Wong, minta hebahkan supaya orang Islam tak terjebak ritual agama lain

Dr Lingham (kanan) bertemu Firdaus Wong untuk mengupas isu yoga. -Foto Facebook Firdaus Wong

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa senaman yoga adalah haram kerana bertentangan dengan syariat Islam.

Meskipun begitu, masih ramai umat Islam yang mengamalkannya sehingga kini, malah ada yang menganjurkan kelas untuk belajar senaman yang popular di Barat dan India itu.

Terpanggil untuk menegur isu berkenaan, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkongsi satu hantaran di laman Facebook, susulan pertemuannya dengan Presiden Persatuan Sukan Yoga Malaysia (MYSA), Prof Dr Lingham Pillai.

Menerusi hantaran tersebut, Firdaus berkata Dr Lingham memohon bantuannya untuk menguar-uarkan kepada umat Islam agar tidak terjebak dengan amalan senaman yoga.

yoga 2

Senaman yoga mempunyai unsur agama Hindu. -Gambar hiasan

"Hampir dua jam beliau berkongsi kebimbangannya dengan kami selain menunjukkan bukti demi bukti yang dibawa bersama.

"Sesuatu yang diberi highlight dari sesi hampir dua jam adalah kenyataannya ini:

"Saya tahu yoga berasal daripada agama Hindu. Saya sendiri tidak akan mempromosikannya kepada Muslim. Mana-mana guru atau pusat yoga tidak boleh mempromosikannya kepada Muslim.

"Orang Islam tidak sepatutnya menyertai yoga. Saya Hindu, saya tahu yoga adalah dari agama Hindu dan orang Islam sendiri harus menghormati fatwa Jakim yang melarang orang Islam menyertainya," tulis Firdaus dalam hantaran berkenaan, sebagaimana yang disampaikan oleh Dr Lingham kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami paksa rujuk tetap sah jika dalam idah, isteri tak setuju boleh fail cerai di mahkamah

Tambah Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Dr Lingham turut meluahkan kekesalan kerana ada segelintir pihak terang-terangan mempromosikan yoga kononnya baik untuk kesihatan jasmani.

"Beberapa guru yoga mempromosikan yoga kepada orang Islam dengan mengatakan yoga membantu mereka untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik!

"Yoga berasal dari agama Hindu bagaimana untuk menjadikan mereka menjadi Muslim yang lebih baik?

"Saya menjalankan kajian tentang pergerakan solat, cuma suruh orang Islam solat dengan betul kerana dalam gerakan solat Islam itu banyak manfaat kesihatan dalam semua pergerakan. Tolong beritahu orang Islam, jangan menyertai yoga!

"Yoga ini ritual dari agama Hindu! Muslim tak boleh sertai yoga!" ujar Dr Lingam lagi.

A yoga class taking place. *** Local Caption *** A yoga class taking place.

Banyak kelas senaman yoga yang ditawarkan di pusat kecergasan atau guru yoga ketika ini. -Gambar hiasan

Perkongsian Firdaus sehingga kini meraih lebih 1,400 shares di Facebook, selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen.

Sebagai maklumat tambahan, memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, amalan yoga memiliki kaitan yang rapat dengan agama Hindu, justeru umat Islam diharamkan untuk menyertainya.

"Senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

"Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam," demikian menurutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain