suria

Suami paksa rujuk tetap sah jika dalam idah, isteri tak setuju boleh fail cerai di mahkamah

Rujuk adalah ruang yang diberikan oleh Islam kepada pasangan yang telah bercerai untuk kembali bersama. -Gambar hiasan

SETIAP perkahwinan pasti ada pasang surutnya dan tidak semuanya indah sepanjang masa.

Ibarat kata bidalan, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan baik dan harmoni di antara suami isteri.

Meskipun begitu, adakalanya perselisihan yang berlaku sesama pasangan berlarutan hingga sampai ke tahap ikatan perkahwinan tidak mampu dipertahankan.

Memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Islam memberikan jalan keluar untuk sekalian umatnya menerusi pensyariatan talak (cerai).

Dalam masa yang sama, syariat Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj'ie (yang boleh dirujuk semula) bermaksud tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh.

rujuk 1

Tiada hubungan perkahwinan yang tidak dilanda badai. -Gambar hiasan

Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh idah.

Namun begitu, timbul persoalan bagaimana jika rujuk dilakukan secara paksaan, iaitu tanpa persetujuan sepenuh hati oleh isteri, adakah ia dibolehkan mengikut hukum agama Islam?

Persoalan tersebut dirungkai oleh pendakwah, Ustaz Izmir Fareez Noorazalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terlalu ikut nafsu hingga abai soal wali nikah, ada pasangan dah kahwin 34 tahun tapi tak sah!

ARTIKEL BERKAITAN: Ingat ya! Pasangan berkahwin perlu elak tinggal bersama mentua, boleh rosak rumah tangga

"Dalam Islam, rujuk itu adalah milik suami. Sebagaimana talak itu milik suami, iaitu suami yang lafazkan, sama juga seperti rujuk yang mana suami boleh lafazkan.

"Maksudnya, dalam rujuk bahasa kita ini, suami mesti lafazkan rujuk secara jelas. Dalam mazhab Imam Syafie, sebagai contoh disebut seperti 'aku rujuk engkau semula'. Maka jadilah dia isteri seperti mana yang biasa.

"Dari isu mengenai rujuk secara paksaan pula bagaimana? Paksaan pun jadi (isteri semula) juga. Dalam hadis, Nabi (SAW) kata ada tiga perkara yang dibuat sungguh-sungguh, menjadi... bergurau pun menjadi. Tiga perkara itu adalah nikah, rujuk dan talak," ujarnya.

Menghuraikan lebih jelas, beliau menambah, dalam konteks rujuk secara paksaan, seseorang isteri boleh memfailkan penceraian di mahkamah secara khuluk atau fasakh.

rujuk 2

Ramai pasangan memilih untuk rujuk kerana mengutamakan anak-anak. -Gambar hiasan

"Kita perlu tahu, talak yang ada pada suami ada tiga saja. Dan rujuk yang ada pada suami ada dua saja. Bila dia talak, rujuk, talak, rujuk... habislah.

"Menjawab persoalan isu ini, contohnya isteri yang tak suka nak dirujuk secara paksa oleh suami ini? Apabila dirujuk semula, kemudian dia boleh failkan penceraian di mahkamah untuk khuluq atau fasakh.

"Selepas daripada itu jika dia bercerai dan rujuk semula, sehingga habis talaknya, maka tidak boleh dirujuk semula," katanya.

Bagiamanapun tegasnya, kes ini adalah untuk ketika isteri dalam idah sahaja.

"Kalau isteri dah habis idah, mana boleh paksa lagi nak kahwin (rujuk) dengan dia (suami).

"Apatah lagi kalau talak tiga sudah dilafazkan... lagilah tak boleh paksa isteri untuk kembali semula kepada suami," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain