KETIKA ini beberapa negeri khususnya di Pantai Timur dan utara tanah air sedang dilanda bencana banjir susulan musim tengkujuh. Bagi umat Islam, dalam menghadapi situasi sukar ini, kebergantungan seharusnya diletakkan kepada Allah selain mengikut arahan pihak berkuasa. Membicarakan pula tentang kewajipan sebagai umat Islam, situasi banjir ini tidak wajar dijadikan alasan untuk mereka meringankan ibadah solat. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terjejas banjir, ramai tertanya-tanya bolehkah jamak solat? Jangan risau, Ustazah Asma’ Harun tolong jawab Sudah pastinya pelbagai persoalan sering menjadi tanda tanya dalam kalangan kita khususnya yang terlibat dengan musibah ini mengenai beberapa perkara berkaitan hukum solat. Tokoh pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar tampil merungkai lima persoalan berkaitan hukum menunaikan solat ketika banjir. Mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan banjir tidak begitu darurat untuk menunaikan solat. -Gambar hiasan 1) Adakah sah berwuduk dengan air banjir? Sah kerana air banjir selalunya datang dari air sungai dan air hujan, kedua-duanya air mutlak. 2) Adakah sah solat dengan memakai baju yang terkena air banjir dan lumpur? Sah, selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda jelas ia telah terkena najis. 3) Adakah boleh solat jamak ketika banjir? Pendapat yang muktamad dalam mazhab Imam Al-Syafie tidak boleh, tetapi sekiranya ada kesukaran dan keperluan mendesak seperti menyelamatkan nyawa dan diri, maka dibolehkan mengikut pendapat sebahagian ulama seperti al-Nawawi. Banjir merupakan salah satu bentuk ujian daripada-Nya. -Gambar hiasan 4) Adakah wajib solat Jumaat ketika banjir? Wajib sekiranya tempat penempatan mangsa banjir mencukupi 40 orang yang diwajibkan Jumaat ke atas mereka. Namun tidak wajib sekiranya terkandas di dalam rumah disebabkan banjir. 5) Apakah hukumnya solat di dalam air? Solat di dalam air sah, dan wajib rukuk dan sujud seperti biasa sekiranya mampu, kerana paras air tidak terlalu tinggi. Namun begitu, sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk tetapi tidak sampai ke dalam air sebagai isyarat bagi sujud. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube