suria

Solat ketika bencana bah, jangan sampai salah pemahaman! Ini penjelasan tentang jamak, wuduk guna air banjir

Solat merupakan tiang agama yang perlu ditunaikan. -Gambar hiasan (kanan)

MUSIM monsun pada penghujung tahun tiba lagi dan lokasi rendah yang sering dinaiki air pasti akan terjejas dengan banjir.

Bencana alam ini boleh menyebabkan gangguan terhadap kehidupan penduduk, antaranya kekangan untuk menunaikan solat fardu lima waktu bagi mereka yang beragama Islam.

Minggu lalu, tular di platform media sosial memaparkan seorang lelaki mendirikan solat di kawasan dilanda banjir, malah dia dilihat sujud di dalam air.

Perkara itu menimbulkan rasa sangsi warga maya dengan ramai tertanya-tanya sekiranya solat lelaki tersebut sah, memandangkan ia boleh mengundang mudarat.

Melalui satu ciapan di laman X, seorang penulis buku agama dikenali sebagai Yazid Hamka mengupas isu berkenaan dengan lebih lanjut.

Tangkap layar video tular yang membangkitkan persoalan orang ramai.

Menurut Yazid, solat itu adalah sah sekiranya sudah dipastikan tiada tempat kering untuk mendirikan sembahyang.

"Solat lelaki itu sah kerana semua rukun dapat dilaksanakan. Bacaan wajib dan rukun dalam solat ada lima bahagian, iaitu takbiratul ihram, al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir, selawat dalam tahiyat akhir dan salam yang pertama.

"Jika kesemua bacaan ini dapat disempurnakan, solat anda sudah sah. Mangsa banjir turut diberikan kelonggaran untuk solat berdiri, tidak perlu melakukan perbuatan rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud sekiranya bimbang masuk air.

"Bagi perbuatan ini, cukup sekadar menundukkan badan mengikut kemampuan. Selain daripada itu, mangsa banjir juga mempunyai keringanan untuk menjamakkan solat," jelas Yazid.

ARTIKEL BERKAITAN: Batuk, bersin atau menguap boleh jadi punca batal solat... Ustaz perjelas 3 situasi ini dalam rukun qauli

Bagaimanapun, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menerangkan mangsa banjir sebenarnya tidak digalakkan untuk menjamakkan solat melainkan dalam situasi tertentu.

"Mangsa banjir atau petugas dibolehkan untuk solat jamak ketika situasi mendesak seperti menyelamatkan diri atau harta, dalam situasi ini dibenarkan untuk solat jamak secara taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal, Zohor atau Maghrib.

"Sekiranya menjangkakan akan berlaku kesukaran yang darurat untuk menunaikan solat jamak taqdim, maka dibolehkan melaksanakan solat jamak takhir, dimulakan dengan solat yang lewat, Asar atau Isyak.

"Namun bagi mereka yang sudah ditempatkan di kawasan penempatan kering dan lapang yang tiada darurat padanya, mereka hendaklah melakukan solat secara sempurna tanpa menjamakkannya.

Banjir merupakan satu bentuk ujian kepada umat Islam. -Gambar hiasan

"Ia bertujuan memastikan diri keluar dari khilaf ulama, demikian itu adalah lebih afdal untuk menunaikan solat dalam waktu asalnya," kata Ustazah Asma’ Harun.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata air banjir adalah suci, malah boleh digunakan untuk berwuduk dalam situasi darurat.

"Umat Islam diminta supaya mencari air mutlak (bersih) untuk berwuduk, namun jika tidak ditemukan, maka dibolehkan menggunakan air banjir kerana ia adalah suci.

"Meskipun air banjir sudah berubah pada warna, bau, dan rasanya, tetapi ia masih dalam keadaan suci lagi menyucikan kerana perubahannya disebabkan oleh debu, lumut dan tanah serta pengalirannya yang tidak bergerak.

"Namun jika seseorang itu meyakini dengan sepenuh hati bahawa air banjirnya telah bercampur najis, maka ia tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk," ujar beliau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain