UMUM mengetahui al-Quran adalah kalam suci Allah SWT dan perlu dijaga dengan penuh adab. Antaranya, seseorang yang hendak menyentuh kitab suci ini perlulah mempunyai wuduk serta bebas daripada hadas kecil dan hadas besar. Satu hantaran di laman TikTok pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi mengupas salah faham berkaitan pengendalian al-Quran, yang mana jika tersilap pemahaman boleh menyebabkan seseorang itu berdosa. Perkara pertama yang ditegur adalah tanggapan masyarakat iaitu dibolehkan memegang mushaf (kulit) al-Quran tanpa wuduk sekiranya beralas. Menjadi kebiasaan untuk mereka yang tidak berwuduk memegang al-Quran menggunakan kain. "Sebenarnya kalau tiada wuduk, pegang mushaf al-Quran secara berlapik dengan kain tebal pun tetap haram hukumnya. Malah membawa mushaf al-Quran tersebut dengan menggunakan beg, tanpa bersentuhan pun tidak boleh. "Wajib berwuduk untuk kita menyentuh, memegang atau membawa mushaf al-Quran. Cuma kelonggaran boleh diberikan untuk al-Quran tafsir, kita dibenarkan untuk pegang dan bawa tanpa mempunyai wuduk. "Namun elakkan daripada menyentuh ayat suci al-Quran di dalam, dibolehkan untuk memegang terjemahan di tepi yang ditulis menggunakan Bahasa Melayu," jelas akaun TikTok tersebut sambil menunjukkan lakonan dua lelaki di dalam masjid. Sementara itu, merujuk kepada hujah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau turut sependapat bahawa seseorang itu diwajibkan untuk berwuduk bagi memegang al-Quran. Pengendali boleh memegang dan membawa al-Quran tanpa wuduk sekiranya ia dalam format cakera optik. Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri "Berdasarkan kepada pegangan empat mazhab utama iaitu Mazhab Al-Hanafiyah, Mazhab Al-Malikiyah, Mazhab al-Syafi’iyah dan Mazhab Al-Hanabilah, seseorang itu mestilah berwuduk untuk menyentuh mushaf al-Quran. "Malah ia merupakan satu penghormatan kepada al-Quran dan satu perbuatan yang mulia sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili seperti berikut:- "Menyentuh mushaf termasuk larangan bagi orang yang berhadas kecil kerana memuliakan al-Quran adalah wajib, dan bukanlah sikap memuliakan jika menyentuh al-Quran dengan tangan yang berada dalam keadaan berhadas. "Selain tafsir al-Quran, pengendali boleh memegang dan membawa al-Quran tanpa wuduk sekiranya ia dalam format cakera optik seperti cakera padat (CD), Brail dan paparan skrin telefon bimbit," ujar beliau. - Masjid Bandar Seri Putra Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube