suria

Patung Labubu ada unsur syubahah, pembaziran... Peminat disaran tinggalkan trend - Timbalan Mufti WP

Patung Labubu menjadi trend masa kini.

PEMINAT patung Labubu disarankan untuk meninggalkan trend mengumpul dan menggayakannya sebagai penghias beg seperti mana dilakukan penyanyi lagu Rockstar, Lisa Blackpink, kerana ia termasuk dalam perkara yang syubhah.

Perkara tersebut ditegaskan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan selepas mengambil kira pendedahan tentang asal usul patung tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan terdapat unsur pembaziran kerana pemilikan patung Labubu termasuk dalam perkara yang tidak berfaedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Patung Labubu dipakai Lisa Blackpink jadi kegilaan seluruh dunia... Mak ayah beli untuk anak pasti menyesal jika tahu asal usulnya

Mengulas lanjut, ujar beliau, ulama bersepakat bahawa menggunakan patung yang disembah adalah haram.

"Walaubagaimanapun berlaku khilaf pada setiap jenis patung dan gambar.

"Oleh itu, ulama bersepakat bahawa hukum menyimpan patung adalah haram jika ia adalah patung makhluk yang mempunyai roh seperti manusia, haiwan dan termasuk juga jin," ujarnya.

Selain itu, jelas Jamali, patung yang sempurna atau tidak terpotong anggota badan juga diharamkan terutama ia diletakkan di tempat khas mahupun digantung di tempat yang dimuliakan.

Patung Labubu diminati setiap lapisan masyarakat.

Patung Labubu diminati setiap lapisan masyarakat.

"Patung yang saiznya tidak kecil atau bukan mainan kanak-kanak dan tidak diperbuat daripada bahan yang cepat rosak juga termasuk kategori haram.

"Pada masa sama, patung tersebut mestilah tidak mempunyai unsur lucah, tanda salib, lambang-lambang agama lain dan sebagainya yang haram," tambah Jamali.

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan bahawa menyimpan patung Labubu adalah harus jika dijaga syarat-syarat pengharaman di atas dan tidak dimuliakan.

Untuk rekod, patung Labubu yang dicipta pada 2015 menjadi 'kegilaan' masyarakat masa kini sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

Malah permintaan terhadapnya semakin meningkat selepas penyanyi lagu Rockstar, Lisa Blackpink menggayakannya sebagai penghias beg.

Bagaimanapun pencipta siri Labubu, Kasing Lung menyatakan dia mendapat inspirasi ketika berpindah ke Belanda dan ciptaan tersebut dikaitkan dengan agama di sana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain