suria

Kuantiti dikurangkan, harga naik... Makin ramai peniaga ‘mencuri’ dalam timbangan, ini penjelasan agamawan

Kuantiti bahan perlulah sama jika harga jualan dinaikkan. -Gambar hiasan

KEKURANGAN bahan mentah dan kos barang keperluan yang semakin mahal sering dijadikan alasan utama untuk peniaga menaikkan harga jualan.

Malah ia dianggap sebagai perkara biasa dalam perniagaan dan demi membantu kelangsungan hidup masyarakat.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, terdapat peniaga yang mengurangkan kuantiti barang dagangan meskipun harga jualan dinaikkan.

"Harga naik yang keterlaluan tapi kualiti dia kurangkan, kalau harga naik disebabkan bahan mentah mahal tapi kualiti masih kekal... kita faham," luah seorang pelayar Facebook.

Bukan itu sahaja, dia turut mempersoalkan keberkatan rezeki peniaga yang mengamalkan konsep jualan seperti itu selain mendakwanya sebagai 'mencuri' dalam berniaga.

Luahannya itu mengundang pelbagai persepsi dan pendapat daripada warga maya.

Meskipun ramai yang bersetuju dengan pandangannya, namun terdapat warga maya yang mempertahankan tindakan peniaga dengan menyatakan ia adalah strategi perniagaan.

Kos bahan mentah yang mahal menyebabkan peniaga menaikkan harga jualan. -Gambar hiasan

Kos bahan mentah yang mahal menyebabkan peniaga menaikkan harga jualan. -Gambar hiasan

Senario yang berlaku itu mendapat perhatian golongan agamawan termasuklah pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Mengulas mengenainya, ujar beliau, peniaga boleh menjual barang dengan mengurangkan timbangan, namun mesti menepati syarat yang ditetapkan iaitu mengurangkan harga.

"Boleh jual barang dan kurangkan timbangan tapi syaratnya kurangkan harga.

"Ni kita kurangkan timbangan tapi harga tak cukup timbangan, itu haram. Sedangkan nabi anjurkan apabila berniaga, kena lebih dan jangan pandang rugi sebaliknya keuntungan sedekah.

"Tidak kurang harta kamu dengan sebab sedekah, dijamin oleh nabi... termasuk sedekah jual beli yang kita bagi lebih," jelasnya ringkas.

Malah beliau sekali lagi menegaskan bahawa amalan mengurangkan timbangan dalam jualan adalah satu penipuan.

Dalam pada itu, Laman Web Jabatan Mufti Selangor turut menjelaskan isu berkaitan penipuan dalam perniagaan dengan menjadikan peniaga ikan sebagai contoh.

Mata sukatan penimbang cenderung untuk berubah sebanyak 0.5 gram hingga 1 gram disebabkan kewujudan air pada ikan.

Mengulas mengenainya, laman web tersebut menyatakan, adalah menjadi kewajipan peniaga untuk sentiasa berlaku jujur dalam perniagaan yang dijalankan khususnya dalam hal timbangan.

Allah SWT memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan timbangan dalam aktiviti perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Rahman ayat 9 yang bermaksud: “Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.”

Oleh itu, peniaga wajib mengalihkan kepada 0 gram atau mengelap timbangan agar sukatan timbangan menjadi betul dan adil.

Perbuatan membiarkan sukatan timbangan yang tidak berfungsi dengan baik atau adil adalah dilarang dan berdosa dalam Islam.

Ini kerana perbuatan ini termasuk dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan, perbuatan ini juga mengurangkan kuantiti sesuatu barangan sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Muthaffifin yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam.”

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain