suria

Kakak ‘bolot’ barang kemas arwah mak, pegang harta batil tak peduli adik lelaki... Ini cara kiraan faraid emas

Pembahagian harta pusaka sering mencetuskan perbalahan dalam ahli keluarga. -Gambar hiasan

PEMBAHAGIAN harta pusaka dan faraid sering mencetuskan perbalahan dalam kalangan ahli keluarga.

Dalam sesetengah situasi, golongan wanita akan menggunakan hak mereka untuk membolot barang kemas milik arwah ibu atau bapa dengan menyatakan golongan lelaki diharamkan untuk memakai emas.

Senario yang sering terjadi ini akhirnya dinormalisasikan masyarakat seperti mana perkongsian perunding pewarisan harta Islam, Fazli Mazlan.

"Mak meninggal dunia, kakak pula ambil semua barang kemas arwah mak tanpa meminta izin daripada adik lelaki.

"Apabila disoal, dia menyatakan lelaki haram memakai barang kemas," demikian perkongsian tentang senario yang sering berlaku dalam kalangan waris selepas kematian ibu atau bapa.

Menurut Fazli, golongan lelaki muslim diharamkan untuk menggayakan barang kemas namun tidak dihalang daripada memilikinya.

Malah katanya, barang kemas tersebut sepatutnya dibahagikan mengikut hukum faraid yang disyariatkan dalam Islam bagi mengelakkan pewaris memiliki harta batil.

Berikut cara untuk pembahagian barang kemas milik arwah ibu bapa kepada warisnya mengikut hukum faraid:

Barang kemas si mati perlu ditimbang dan dinilaikan mengikut kadar emas semasa. -Gambar hiasan

Barang kemas si mati perlu ditimbang dan dinilai mengikut kadar emas semasa bagi pembahagian ikut hukum faraid. -Gambar hiasan

1. Nilaikan semula keseluruhan barang kemas mengikut harga semasa

Waris perlu mengumpul semua barang kemas yang dimiliki oleh arwah dan membuat timbangan berat.

Kemudian nilaikan berat yang dimiliki dengan kadar emas semasa. Boleh juga dapatkan bantuan di premis bertauliah seperti ar Rahnu untuk menentukan berat dan nilai semasa.

2. Bahagikan nilai tersebut mengikut nisbah faraid yang ditetapkan

Misalnya, jika nilai barang kemas adalah RM150,000 dan warisnya terdiri daripada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka pembahagiaan sebenar adalah RM100,000 untuk lelaki manakala selebihnya kepada anak perempuan.

Ini kerana, nisbah faraid anak lelaki adalah dua bahagian manakala sebahagian untuk anak perempuan.

3. Si mati melakukan hibah kepada waris

Jika si mati ingin menyerahkan barang kemas yang dimiliki kepada anak perempuannya sahaja, maka dia perlu menghibahkannya semasa hidup bagi mengelakkan waris memiliki harta batil.

Dalam pada itu, memetik penjelasan dalam laman web Mufti Negeri Sarawak, berdasarkan nukilan Syeikh Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, memakan harta dengan cara batil bermaksud ia dilakukan dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar’ie seperti riba, judi, ghasb, dan mengurangkan dalam jual beli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain