suria

Puas berdoa tetap banyak masalah? Ustaz kongsi rahsia doa makbul lepas terdengar perbualan ibu, anak di kedai runcit

Berdoa juga mempunyai cara dan adab tertentu. -Gambar hiasan

KESUKARAN hidup dan masalah demi masalah yangdialami membuatkan kebanyakan individu beranggapan doa mereka setiap hari tidak dimakbulkan oleh Allah.

Tambahan pula, pelbagai ikhtiar dan usaha juga telah dilakukan untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

Bagi anda yang masih tercari-cari cara berdoa yang mustajab di samping menjaga adab dan khusyuk, bolehlah mencuba amalan yang dikongsikan penceramah bebas, Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz di laman Facebook rasminya.

Menurutnya, amalan tersebut dikongsikan oleh seorang wanita kepada anaknya selepas beliau pulang menghadiri sebuah majlis ilmu.

"Tempoh hari saya singgah ke kedai runcit, terdengar perbualan seorang lelaki dengan ibunya... Rul, kalau nak berdoa apa-apa 'jual' nama ibu.

"Contohnya, 'Ya Allah lancarkan urusan beli rumah agar jika ibu datang melawat dan bermalam dia rasa selesa'.

"InsyaAllah doa tu naik tanpa hijab," katanya yang amat mengagumi cara wanita tersebut mendidik anaknya mengenai doa.

Anak yatim piatu pun boleh 'jual' nama ibu dan ayah yang sudah meninggal dunia. -Gambar hiasan

Anak yatim piatu pun boleh 'jual' nama ibu dan ayah yang sudah meninggal dunia. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan kisah seorang sahabat yang berbadan gempal tetapi berkahwin dengan seorang wanita cantik.

"Sahabat-sahabat Nabi SAW pun bertanya padanya, apa rahsia dapat isteri yang cantik.

"Dia menyatakan 'Setiap hari aku berdoa, Ya Allah kurniakanlah aku isteri yang bila mana mak aku pandang wajahnya, mak terus berasa sayang dan kasih padanya'.

"Mulia sungguh Allah tempatkan taraf seorang ibu ni kan," katanya lagi.

Menjadikan kisah sahabat sebagai tauladan, Mohammad Asraff kemudiannya menyeru semua umat Islam untuk berdoa sambil menyelitkan nama ibu.

Bagaimanapun, katanya, jika ibu sudah tiada, nama bapa atau mentua juga boleh disebut semasa berdoa.

Menyedari terdapat segelintir masyarakat yang berstatus yatim piatu, Mohammad Asraff tampil berkongsikan doa yang boleh diamalkan.

"Ya Allah, limpahkanlah rezeki sebanyak-banyaknya kepadaku supaya aku dapat berinfaq buat ibu dan ayahku di alam sana. Aku nak sangat buat mereka gembira, sebab dulu masa kecil mereka selalu gembirakan aku.

"Insya Allah, dengan niat yang murni dan penuh kasih sayang macam ni pasti Allah akan lebih mudah memakbulkan doa kita," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain